Kedai komputer, alat tulis, komunikasi dibenar buka esok, SOP lain kekal

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 15 Julai – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka mengesahkan tiada kelonggaran terbaharu boleh dinikmati rakyat Melaka dalam masa terdekat.

Pengarahnya, Mohd Nasrul Menhat bagaiamanapun berkata, bermula esok, sidang khas MKN telah meluluskan kebenaran operasi bagi beberapa premis perniagaan.

Ini termasuklah kedai komputer dan telekomunikasi serta kedai buku dan alat tulis bagi membantu proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Selain itu berdasarkan kemas kini 9 Julai, MKN juga telah membenarkan pertambahan operasi perkhidmatan perlu iaitu perundangan, kehakiman, guaman dan pesuruhjaya sumpah.

“Selain itu, SOP yang telah dikemaskini adalah kebenaran operasi bagi pasar raya, pasar raya besar dan ‘departmental store’ termasuk semua perkhidmatan perlu yang disenaraikan sahaja dibenarkan beroperasi,” katanya.

Tambahnya masyarakat boleh layari laman web www.mkn.gov.my/covid19 bagi mendapatkan sop terkini berkaitan PPN Fasa 1.

Ketika ini Melaka masih kekal berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyaksikan prosedur operasi standard (SOP) sama seperti yang ditetapkan sebelum ini masih terpakai.

Ia termasuklah larangan rentas daerah mahupun berada lebih daripada radius 10 kilometer daripada kediaman dan had dua penumpang di dalam sesebuah kenderaan.

Mengulas lanjut beliau berkata, sehingga kini, situasi COVID-19 di Melaka masih berada pada tahap membimbangkan berikutan kes harian COVID-19 yang masih tinggi.

Selain itu kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka juga katanya telah mencecah 124 peratus, setakat semalam.

Justeru, katanya, masih terdapat dua indikator nilai ambang utama masih belum dicapai membuatkan negeri ini masih belum dapat menikmati kelonggaran SOP bagi PPN Fasa 2.

“Namun begitu, kadar pemberian vaksin di negeri ini telah menunjukkan tanda yang positif apabila setakat 13 Julai, jumlah penerima vaksin lengkap dua dos adalah seramai 99,255 orang iaitu 18.4 peratus daripada populasi yang telah mendaftar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

968
Kongsi :
Previous post PPV Mega dibina di Melaka
Next post Keputusan kemasukan IPTA esok
Ubah saiz-+=