Kedai makan ‘port’ judi dari petang sampai malam

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

MASJID TANAH 18 Mac – “Begitulah hari-hari, setiap petang sehingga ke malam…itu memang ‘port’ mereka berjudi di sini.”

Itu kata seorang peniaga di kawasan Jalan Bandar Baru 1, mengenai lokasi tumpuan ‘kaki judi’ dan agen penjual kupon tambah nilai berurus niaga dengan pelanggan tetap mereka.

Wanita yang enggan dikenali berkata, kedai makan di sekitar kawasan itu memulakan operasi jam 4 petang hingga 12 tengah malam.

TIGA daripada empat lelaki (duduk) yang dipercayai agen penjual kupon tambah nilai sindiket perjudian ditahan dalam serbuah di Jalan Bandar Baru 1, Masjid Tanah, malam tadi.

“Sebaik kedai dibuka, kebanyakan ‘kaki judi’ yang rata-ratanya terdiri daripada kalangan warga emas dan penjual kupon tambah nilai itu memang orang sama yang akan berada di sini.

“Ramai pelanggan lain menyedari kegiatan mereka kerana terlalu selamba berjudi di kawasan tumpuan orang ramai tetapi apakan daya, hendak menegur mereka juga pelanggan di sini,” katanya.

Terdahulu, lima lelaki dipercayai ‘kaki judi’ manakala empat lagi agen penjual kupon tambah nilai, yang semuanya berusia antara 19 hingga 58 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka selama tiga jam bermula jam 8 malam tadi.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati semua kaki judi itu memilih kedai makan untuk dijadikan ‘port’ berjudi berikutan dibimbangi kegiatan mereka dihidu ahli keluarga.

Malah, mereka mendakwa terpaksa mencari duit tambahan bagi menampung keperluan keluarga yang terjejas menghadapi pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, seorang agen penjual kupon tambah nilai sindiket perjudian berusia 39 tahun berkata, dia baru sebulan menjalankan aktiviti kupon tambah nilai di sebuah kedai di Jalan Sri Aman 5, Taman Sri Aman.

“Sejak kedai dibenarkan beroperasi, saya memang buka kedai 24 jam, tidak pernah tutup.

“Bos bagi saya kerja, saya pun kerjalah…kalau tidak mana mahu cari duit?,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2006
Kongsi :
Previous post Berani sungguh judi di tempat awam!
Next post Lebih 367,000 individu terima dos pertama vaksin COVID-19 setakat semalam
Ubah saiz-+=