Kedai runcit sorok 1 tan barang bersubsidi kena serbu

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Mac – Hampir satu tan barangan bersubsidi yang dipercayai disorok sebuah kedai runcit haram dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, hari ini.

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, kesemua barangan bersubsidi itu dikesan dalam serbuan pada jam 11.30 pagi di premis terbabit yang terletak di Melaka Raya.

Jelasnya, ketika pemeriksaan dijalankan di premis itu, penguatkuasa KPDN menemui 493 kilogram (kg) minyak masak, 276kg gula, 50kg tepung dan dua tong gas LPG yang mana kesemua barangan itu telah dirampas.

“Tindakan itu diambil selepas kita mendapati kedai runcit itu tidak mempunyai sebarang lesen perniagaan selain beroperasi secara haram lebih seminggu lalu.

“Kita beranggapan tindakan membuka kedai runcit itu kerana sebelum ini kita kerap mengadakan serbuan keatas restoran yang terletak bersebelahan kerana menggunakan minyak paket bersubsidi jadi ini mungkin untuk mengaburi mata penguatkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai operasi itu, di Melaka Raya, hari ini.

Menurutnya, semakan awal dijalankan mendapati restoran yang terletak bersebelahan kedai runcit itu adalah milik warga India.

“Pemeriksaan lanjut dijalankan juga mendapati kedai runcit itu juga gagal mempamerkan tanda harga pada barangan jualan.

“Kesemua barangan bersubsidi dirampas itu dianggar bernilai kira-kira RM2,000 dan boleh digunakan hampir 200 isi rumah,” katanya.

Norena berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

765
Kongsi :
Previous post Ikhlas berbakti kunci kejayaan raih APC ketiga
Next post Konvensyen Baitulmal Kebangsaan di Melaka buka tirai esok
Ubah saiz-+=