Keganasan terhadap wanita adalah isu kesihatan – Khairy

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyifatkan keganasan terhadap wanita sebagai isu kesihatan, pelanggaran hak asasi wanita, integriti tubuh badan serta hak seksual dan reproduktif.

Beliau berkata wanita yang didera lebih berkemungkinan untuk terlibat dalam tingkah laku berisiko tinggi seperti merokok dan penggunaan bahan terlarang berbanding wanita yang tidak didera.

“Tambahan pula, tekanan kronik yang disebabkan oleh keganasan dikaitkan dengan kadar penyakit kronik yang lebih tinggi (seperti penyakit jantung dan diabetes), gangguan kesihatan mental dan jangkitan untuk wanita yang didera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama melalui rakaman video pada Forum Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan Malaysia tahunan kedua, anjuran Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia hari ini.

Sementara itu, Khairy juga berjanji untuk melakukan lebih banyak lagi untuk mewujudkan dasar yang akan memastikan perlindungan dan tumpuan terhadap kesejahteraan wanita dan kanak-kanak perempuan dalam semua aspek di negara ini.

“Hak untuk autonomi tubuh adalah janji yang diperakui secara sah oleh undang-undang negara kita untuk setiap rakyat Malaysia. Namun saya tidak menafikan terdapat jurang sosial dan undang-undang penting yang perlu dirapatkan apabila melibatkan wanita dan kanak-kanak perempuan,” tambah beliau.

Khairy berkata sebagai negara berdaulat, Malaysia mempunyai komitmen ke arah menegakkan hak asasi manusia untuk semua rakyat Malaysia, termasuk hak kesaksamaan, maruah, autonomi, maklumat dan integriti tubuh badan serta menghormati kehidupan peribadi dan standard kesihatan yang tertinggi termasuk kesihatan seksual dan reproduktif.

Malaysia juga merupakan penandatangan Persidangan Antarabangsa Mengenai Pembangunan Penduduk (ICPD) dan Program Tindakannya pada 1994 yang memastikan hak dan pilihan reproduktif untuk wanita dan kanak-kanak perempuan, diikuti Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada 1995, serta mengesahkan komitmen kita terhadap ICPD semasa Persidangan Nairobi pada 2019, katanya.

“Ini bukan aspirasi, ia adalah komitmen. Komitmen yang berakar daripada pemahaman iaitu sama seperti kebanyakan negara di dunia, kita mesti buat yang terbaik untuk memastikan dapat memenuhi potensi mutlak, hak dan pilihan individu tanpa mengira umur, jantina atau kepercayaan mereka.

“Dan kita telah menetapkan sasaran untuk mencapai matlamat ini menjelang 2030, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

Khairy berkata kerajaan telah berusaha untuk menghentikan keganasan rumah tangga terhadap wanita termasuk menubuhkan Pusat Krisis Sehenti yang bertujuan menyediakan akses kepada mangsa keganasan bagi perlindungan, penjagaan kesihatan dan keadilan. -BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

786
Kongsi :
Previous post Operator kilang korban pertama banjir di Pahang
Next post Malaysia Airlines jadi penerbangan pertama Malaysia guna SAF
Ubah saiz-+=