Kehadiran pelancong merosot 83.4 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KUALA LUMPUR 9 Mac – Jumlah kehadiran pelancong antarabangsa tahun lalu merosot kepada 4,332,722 orang berbanding 26,100,784 pada 2019 berikutan pintu sempadan negara ditutup akibat pandemik COVID-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, berdasarkan data dikeluarkan Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), industri pelancongan di seluruh dunia mengalami tahun terburuk dengan rekod kedatangan antarabangsa secara puratanya menurun 74 peratus tahun lalu.

Katanya, Malaysia menyaksikan penurunan yang amat ketara dengan jumlah kedatangan pelancong menjunam kepada 4.3 juta pada 2020 berbanding 26.1 pada 2019.

“Ini mengakibatkan kemerosotan sebanyak 83.4 peratus berbanding tahun terdahulu.

“Ia sekali gus menyebabkan hasil penerimaan pelancong (tourism receipts) menerusi sektor itu merosot 85.3 peratus dari RM86.1 bilion pada 2019 kepada RM12.67 bilion pada 2020.

“Dengan purata perbelanjaan per kapita menurun 11.3 peratus, iaitu RM2,928.40 diperolehi pada tahun ini berbanding RM3,300.40 pada 2019,” katanya ketika berucap menerusi panggilan video dari Kuching merasmikan Bursa Pelancongan Antarabangsa (ITB) Berlin NOW 2021 di Hotel Grand Hyat di sini, hari ini.

Persidangan berkenaan turut disertai 30 organisasi melibatkan 10 pemain industri, 10 pengusaha hotel dan resort, tujuh jabatan pelancongan negeri dan tiga persatuan pelancongan.

Nancy berkata, memandangkan pintu sempadan antarabangsa masih ditutup, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merangka pelbagai inisiatif termasuk mengintai peluang menerusi gelembung perjalanan dengan negara Asia Tenggara termasuk Indonesia.

“Industri pelancongan Malaysia kini fokus untuk memaksimumkan sumber pelancongan menerusi ekopelancongan pedalaman serta mempelbagaikan produk pelancongan.

“Kita juga berusaha untuk mengembangkan pakej pelancongan yang bersesuaian bagi menghidupkan kembali pelancongan apabila pintu sempadan mula dibuka semula,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

492
Kongsi :
Previous post Ketibaan PM Muhyiddin di Riyadh disambut oleh Putera Mahkota
Next post Sulaiman tinjau Empangan Durian Tunggal
Ubah saiz-+=