Kehilangan kambing terjawab

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KUALA LINGGI 8 Dis. – Persoalan kehilangan enam ekor kambing milik seorang penternak sejak awal tahun ini terjawab apabila seekor ular sawa sepanjang enam meter dan seberat kira-kira 70 kilogram (kg) ditemui kekenyangan selepas membaham seekor kambing jantan baka seberat kira-kira 65 kg.

Dalam kejadian jam 10 pagi tadi itu, ular berkenaan menelan kambing yang dijadikan sebagai baka pembiak kambing dalam kandang milik Ali Saad, 60, di Kampung Ladang, Kuala Sungai Baru dekat sini.

Anak saudara Ali, Azmi Zakaria, 39, berkata ketika kejadian dia membantu bapa saudaranya menghalau kambing dari kandang ke ladang kelapa sawit tetapi mereka terkejut apabila mendapati ular berkenaan melingkar kekenyangan berhampiran pagar.

“Sejak awal tahun ini sudah lima ekor kambing muda bersaiz sederhana hilang tetapi kami tidak pernah nampak ular yang dipercayai menelan haiwan peliharaan bapa saudara saya itu.

“Bagaimanapun, kali ini ular itu tidak dapat melarikan diri akibat kekenyangan selepas menelan kambing jantan besar yang kami jadikan sebagai baka bagi membiakkan kambing yang berjumlah 30 ekor,” katanya di sini hari ini.

Katanya, kali terakhir kambing Ali hilang ialah pada Oktober lalu, iaitu kambing berusia tujuh bulan yang dipercayai menjadi habuan ular.

Katanya, mereka amat bersyukur kerana dianugerahi rezeki untuk bertemu dengan ular yang selama ini dipercayai menyebabkan mereka kehilangan kambing yang tinggi nilainya di pasaran.

Sehubungan itu, dia menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Awam (APM) Unit Masjid Tanah untuk membantu menangkap reptilia berkenaan.

Ketua APM Unit Masjid Tanah Leftenan (APM) Shahrul Riza Saiful Bahri berkata, empat anggota APM yang diketuai Lans Koperal (APM) Rozianti Yaakob tiba di lokasi kejadian pada jam 10.56 pagi.

Rozianti berkata, usaha menangkap haiwan berkenaan terpaksa mengambil kira-kira 20 minit berikutan tindakannya yang agresif mencuba melarikan diri ke ladang kelapa sawit.

“Kami terpaksa berhempas pulas menangkapnya kerana ia sangat agresif dan dengan saiznya yang besar dan ditambah pula dengan berat kambing dalam perutnya, kami terpaksa menggunakan segala kekuatan yang ada untuk memastikan ia tidak dapat melepaskan diri,” katanya.

Ular berkenaan akan diserahkan kepada Taman Rama-Rama dan Reptlia Melaka di Ayer Keroh selepas dibenarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), katanya.

Views:

926
Kongsi :
Previous post Ah Long dicekup
Next post UTeM buka bidaan nombor plat eksklusif
Ubah saiz-+=