Kejayaan Aaron pemangkin semangat anak Melaka – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 2 Ogos – Kejayaan dikecapi Aaron Chia merangkul pingat gangsa dalam acara beregu badminton lelaki di Sukan Olimpik diharap menjadi pemangkin semangat kepada rakyat Melaka untuk melakar kejayaan dalam bidang diceburi.

Ucapan itu dikongsikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di akaun Facebooknya sebentar tadi selepas membuat panggilan video bersama anak kelahiran Melaka berusia 23 tahun di kediamannya di Seri Bendahara, hari ini.

Sulaiman berkata, menerusi panggilan itu, beliau bersama Aaron sempat berbual santai sambil berkongsi cerita mengenai pengalaman beraksi di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

CERIA…Sulaiman berbual dengan Aaron menerusi panggilan video.

“Aaron yang baru tiba di tanah air petang tadi jelas begitu ceria dalam perbualan santai antara kami berdua.

“Saya berharap dengan kejayaan dikecapi anak muda berusia 24 tahun berasal dari Batu Berendam ini dapat menjadi pemangkin semangat orang Melaka khususnya anak muda untuk turut melakar kejayaan dalam pelbagai bidang yang diceburi,” katanya dalam catatan itu.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah terhadap Aaron dan gandingannya, Soh Wooi Yik kerana mengharumkan nama negara.

“Syabas dan tahniah sekali lagi saya ucapkan kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia pada temasya sukan terbesar di dunia.

“Demi Malaysia! Syabas anak muda!” tulisnya.

Aaron dan Woo Wooi Yik menghadiahkan pingat gangsa dalam acara beregu lelaki di temasya Olimpik Tokyo 2020 Sabtu lalu.

Kejayaan itu diraih selepas menewaskan beregu Indonesia, Hendra Setiawan – Mohammad Ahsan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat, sekali gus menghadiahkan pingat pertama negara dalam temasya sukan terbesar dunia itu tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

481
Kongsi :
Previous post Polis selamatkan lima individu dikurung sindiket penipuan
Next post Tahanan keempat lari dari PKRC diberkas semula
Ubah saiz-+=