Polis selamatkan lima individu dikurung sindiket penipuan

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Polis berjaya menyelamatkan lima individu warga tempatan yang dikurung oleh sindiket penipuan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Kuching, di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mangsa yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita diselamatkan susulan siasatan polis dalam kes pembunuhan di sebuah bilik hotel di Jalan Ceylon Sabtu lalu

KETUA Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim. Foto FB IPK KL.

.Beliau berkata pada Jumaat, seorang wanita berusia 20-an telah membuat laporan polis selepas gagal menghubungi suaminya yang keluar rumah sejak 29 Julai.

“Wanita itu memberitahu suaminya berada di sebuah kondominium di Jalan Kuching, Kuala Lumpur dan hasil maklumat berkenaan, sepasukan anggota polis telah ke kondominium tersebut dan berjaya menyelamatkan lima individu terbabit, tujuan mereka dikurung masih disiasat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Azmi berkata siasatan ke atas lima individu berkenaan telah membawa polis ke sebuah bilik hotel di Jalan Ceylon di mana mayat suami wanita itu yang berusia 28 tahun ditemukan terbaring dipercayai dibunuh.

“Siasatan terhadap kamera litar tertutup hotel berkenaan berjaya mengesan lima individu yang memasuki bilik bersama mangsa dan dua serbuan telah dilakukan di Jalan Kuching serta di sebuah kediaman di Bangsar South dan berjaya menahan tujuh suspek lelaki warga tempatan berusia 18 hingga 26 tahun,” katanya.

Azmi berkata polis turut merampas 34 keping kad bank, 35 keping kad sim, 31 unit telefon bimbit, sebuah komputer riba, sepucuk pistol angin, sebuah motosikal dan sebuah kereta daripada kesemua suspek.

“Siasatan awal mendapati suspek terlibat dengan sindiket penipuan manakala mangsa merupakan keldai akaun yang digunakan oleh sindiket berkenaan.

“Kesemua suspek direman sehingga 6 Ogos bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan motif pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

467
Kongsi :
Previous post Bayi perempuan antara 9 korban COVID-19 di Melaka
Next post Kejayaan Aaron pemangkin semangat anak Melaka – Sulaiman
Ubah saiz-+=