Kelemahan UTC akan ditangani segera

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDARAYA MELAKA, 25 Ogos – Pusat Khidmat Tranformasi Bandar (UTC) Melaka berusaha meningkatkan perkhidmatan demi keselesaan pelanggan yang berurusan di pelbagai agensi di premis berkenaan.

Pengurus Besar UTC Melaka Datuk Saleh Md Dom berkata, pendekatan
itu bagi memastikan pusat khidmat berkenaan dapat menjadi antara UTC terbaik di negara ini.

Menurutnya, bagaimanapun banyak perubahan perlu dibuat dari aspek infrastruktur dan sebagainya.

Pengurus Besar UTC Melaka, Datuk Saleh Md Dom

“Kita juga harus pastikan petugas yang berkhidmat lebih cekap dan mesra
pelanggan.

“Selepas pembaik pulih dilaksanakan, barulah kita boleh memberikan yang terbaik kepada pengunjung pusat ini,” katanya.

Pihaknya juga berharap UTC Melaka dapat menjana lebih pendapatan dari semasa ke semasa.

“Selain mengurangkan kos operasi, kita mahu menjana lebih banyak hasil menerusi pelbagai platform boleh dilaksanakan di sini.

“Ia termasuklah menyediakan lebih banyak ruang atau tapak jualan, penyediakan lebih banyak kawasan parkir, mengadakan pelbagai program komuniti serta menganjurkan aktiviti pasar malam dan pasar tani selepas waktu pejabat,” katanya.

Ujar Saleh, kelemahan terdapat di pusat khidmat itu perlu ditangani segera.

“Misalnya mesin-mesin digital terdapat di sini, adakala ia tidak berfungi dengan baik dan menyebabkan perkhidmatan disediakan menjadi perlahan sehingga menyusahkan pengguna.

“Ia perlu dielakkan supaya pelanggan tidak berasa marah atau serik mendapatkan perkhidmatan di sini,” katanya.

Sementara itu, UTC Melaka beroperasi setiap hari bagi memudahkan rakyat di negeri ini.

“Kita lihat kehadiran mereka di sini sentiasa menggalakkan kecuali pada hari cuti hujung minggu, Ahad,” katanya.

Beliau juga merancang untuk mewujudkan perkhidmatan gim atau pusat e-Sukan di sini bagi menarik minat generasi muda ke UTC Melaka.

Views:

834
Kongsi :
Previous post Pertahan keharmonian masyarakat Orang Asli
Next post Zoo Melaka terima hampir 10,000 pengunjung pada Sabtu dan Ahad
Ubah saiz-+=