Pertahan keharmonian masyarakat Orang Asli

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TABOH NANING, 25 Ogos – Masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Payung di sini perlu memastikan keharmonian yang dibinia selama ini mampu dipertahankan dari semasa ke semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning Datuk Latipah Omar menegaskan, ini penting supaya kampung itu bebas dari ancaman anasir luar.

Menurutnya, muafakat dan hubungan baik sedia ada sejak dahulu menjadi platform kepada kedamaian penduduk di kampung itu.

“Sejak saya begelar wakil rakyat pada tahun 2008, saya tidak pernah meminggirkan nasib mereka.

“Mereka sentiasa menjadi keutamaan khususnya dalam aspek kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program penyampaian kit makanan kepada 163 keluarga di Kampung Bukit Payung, baru-baru ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Ab Rauf Yusoh.

Ujar Latipah, masyarakat peribumi kampung ini bergerak dalam satu kumpulan diketuai Tok Batin.

“Sebelum ini juga saya melantik Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memantau perkembangan mereka dan apa berlaku di sini.

“Jika dibandingkan dulu dan sekarang, memang banyak bezanya. Yang mana dari aspek pembangunan, ia lebih baik dan terjamin,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Negeri Melaka berkata, lebih banyak lagi penambahbaikan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Kerjasama mereka terhadap kerajaan sedia ada tidak berbelah bahagi.

“Sempena sambutan bulan kemerdekaan yang ke 63 tahun ini, saya harap mereka juga dapat menghayati temanya iaitu Malaysia Prihatin. Ianya bertepatan dengan program dianjurkan ini,” katanya.

Latipah turut mengingatkan golongan kurang berkemampuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu untuk datang ke Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Taboh Naning bagi mengisi borang permohonan bantuan ‘one off’ yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Views:

310
Kongsi :
Previous post Masyarakat peribumi perlu masa hadapan terbaik
Next post Kelemahan UTC akan ditangani segera
Ubah saiz-+=