Kelengkapan sekolah harga Rahmah di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

PENGKALAN BATU 17 Februari – Menjelang sesi persekolahan 2024 yang akan bermula pada Mac depan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, melancarkan Jualan Ihsan Rahmah Back To School 2024 (JIR BTS 2024) di empat pasar raya terpilih bermula hari ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, sepanjang jualan itu yang akan berakhir pada 3 Mac depan, ibu bapa akan mendapat penjimatan sebanyak 30 peratus apabila berbelanja pakaian dan kelengkapan sekolah di empat pasar raya yang tesenarai.

Jelasnya, empat pasar raya yang terpilih menjayakan JIR BTS 2024 adalah pasar raya Keluargaku di Bukit Baru, dan tiga cawangan Mydin di Melaka iaitu Ayer Keroh, Jasin dan Pulau Sebang.

“Jualan ini dianjurkan bagi persediaan untuk kembali ke sekolah yang bakal tiba pada Mac dan penjimatan harga yang ditawarkan adalah sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga biasa yang ditawarkan di pasaran.

“Antara kelengkapan ditawarkan di semua empat pasar raya ini adalah seragam sekolah termasuk pakaian kokurikulum, kasut sekolah, alat tulis dan beg sekolah. Untuk tawaran ini tiada had pembelian yang ditetapkan untuk setiap keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jualan Ihsan Rahmah Back To School Negeri Melaka 2024, di Pasar Raya Keluargaku, di Bukit Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi@ Mohd Hashim dan Pengarah KPDN Negeri Melaka Norena Jaafar.

Menurut Allex, pihaknya mengalu-alukan sekiranya terdapat sektor peruncitan lain yang berminat untuk turut serta menjayakan JIR BTS 2024 dan ini akan memberi pilihan yang lebih banyak kepada ibu bapa untuk membuat persediaan membeli kelengkapan sekolah kepada anak mereka.

“Setakat ini hanya empat pasar raya yang bersetuju bersama-sama KPDN menjayakan program ini namun sekiranya ada pemain industri lain yang berminat kami amat mengalu-alukan sokongan itu.

“Meskipun harga yang ditawarkan lebih murah namun setiap kelengkapan dan pakaian sekolah yang dijual adalah berkualiti serta terjamin seperti yang dijual di pasaran,” katanya.

Katanya, pelancaran jualan itu juga adalah bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang menyaksikan Melaka menjadi antara destinasi tumpuan pelancong.

“Penganjuran jualan ini dilihat boleh merancakkan lagi aktiviti dalam sektor peruncitan tempatan malah pelancong yang datang ke negeri ini dialu-alukan untuk berbelanja kelengkapan sekolah anak mereka di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

266
Kongsi :
Previous post Melaka angkat karya pelukis tempatan
Next post Sinar baharu hoki Melaka
Ubah saiz-+=