Sinar baharu hoki Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 17 Februari – Agenda memartabatkan sukan hoki di Negeri Melaka akan bertambah rancak selepas Persatuan Hoki Melaka diberi nafas baharu dengan pelantikan presiden dan jawatankuasa baharu.

Menerusi Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan Hoki Melaka Kali Ke-24, di sebuah hotel, di sini, hari ini, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Datuk Rais Yasin telah sebulat suara dipilih menyandang jawatan Presiden Persatuan Hoki Melaka bagi penggal 2024 hingga 2025.

Rais dalam ucapan sulungnya sebagai presiden baharu menzahirkan ucapan syukur dan terima kasih di atas kepercayaan yang diberi untuk memikul amanah dan tanggungjawab tersebut.

Malah, beliau berazam untuk memacu kemajuan sukan hoki Melaka, selain mahu melahirkan lebih ramai atlet pelapis yang boleh diketengahkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Komitmen selaku presiden baharu saya akan memastikan kedudukan Melaka kekal dan terus naik ke atas. Sekarang kita berada di kedudukan keempat dan sasaran kita untuk terus berada di kedudukan lebih baik.

“Saya juga ada memaklumkan untuk memulakan semula Liga Hoki Melaka pada tahun ini sejak terhenti akibat pandemik COVID-19 yang lalu, serta banyak lagi penambahbaikan akan dilakukan selepas ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal.

Sementara itu, pemilihan berkenaan menyaksikan jawatan Timbalan Presiden disandang Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Manakala, jawatan lima Naib Presiden pula dipegang Azrul Effendy Bistamam; Mazlan Mohd Said; Shamsulharul Anuar; Borhan Mustapa dan Rogayah Mohamad.

Francis Leong pula dilantik sebagai Setiausaha Kehormat, manakala Setiausaha Pertandingan dan Bendahari disandang Mirandy Nawawi dan Hazlan Hamzah.

Selain itu, lima Ahli Jawatankuasa Eksekutif dipilih adalah Ahmad Zaki Abdullah; Mohd Fairos Fadzul; R.Vicknesh; Mohd Fariq Norjae dan Rama Rajah Gopal.

Sementara, Nor Ikhram Sulaiman dan Firdausi Hazmi Yaamah pula dipilih menjadi juruaudit persatuan terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

482
Kongsi :
Previous post Kelengkapan sekolah harga Rahmah di Melaka
Next post Melaka anjur Santai Seni setiap bulan
Ubah saiz-+=