Sorting by

×

Keli Empangan Sungai Malim ‘bernilai’ RM3,000

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KESIDANG 31 Ogos – Ikan keli afrika seberat 4.495 kilogram (kg) yang didaratkan Zulkifli Ali dinobatkan sebagai juara Pertandingan Memancing Santai Merdeka Sungai Malim, petang tadi.

Ia apabila ikan yang dipancing pada jam 11 pagi itu muncul ikan terberat yang direkodkan urusetia sekali gus menewaskan kira-kira 200 pemancing lain untuk membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM3,000.

Zulkifli dari Limbongan Melaka berkata, dia seakan tidak percaya umpan cacing yang dilabuhkannya disambar sang keli terbesar dalam pertandingan itu.

IKAN keli seberat 4.495kg yang muncul juara Pertandingan Memancing Santai Merdeka Sungai Malim.

“Mungkin ini rezeki buat saya dan keluarga. Lebih manis ia diterima pada Hari Kemerdekaan negara yang ke-63. Syukur alhamdulillah,” katanya yang ditemui usai tamat pertandingan.

Tempat kedua dan ketiga pula menjadi milik Zakaria dan Sumayyah yang mendaratkan spesies sama masing-masing dengan berat 4.255kg dan 4.070kg.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM800 dan RM300.

Pertandingan memancing yang dianjurkan Joran Unggul Event Management itu merupakan yang julung kali diadakan di Empangan Sungai Malim pasca Covid-19.

Ia diadakan bertujuan untuk menyemarak sambutan kemerdekaan selain merancakkan kembali sektor pelancongan memancing (Angling Tourism) yang sebelum ini sepi ekoran penularan pandemik Covid-19.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati pertandingan berkenaan telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti mewajibkan pemakaian pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan mencatat butiran peserta.

Views:

2051
Kongsi :
Previous post COVID-19: Satu kematian, enam kes baharu dicatat hari ini
Next post Melaka United yakin cipta kemenangan menentang Terengganu
Ubah saiz-+=