Keluarga Malaysia beridentiti nasional perlu dipertahankan – PM

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 16 September – Keluarga Malaysia yang bersatu padu dan memiliki satu identiti nasional perlu dipertahankan demi menjamin kelangsungan kedaulatan negara bangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Utama Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, ia bagaimanapun bukanlah tugas mudah memandangkan pelbagai cabaran masa kini dihadapi termasuklah dalam bentuk ekonomi, politik, sosial selain anasir-anasir luar yang berusaha menggugat kestabilan serta ketenteraman bangsa dan negara.

Oleh itu, beliau berkata, agenda besar Kerajaan pada masa kini ialah untuk memupuk perpaduan Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya dan taraf sosioekonomi, demi kelangsungan sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera.

“Justeru, nilai-nilai Keluarga Malaysia yang berteraskan; Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran adalah ramuan penting dalam usaha membina kekuatan seluruh Keluarga Malaysia – dari Perlis sehinggalah ke Sabah, agar terus teguh bersatu, kukuh berpadu serta kalis cabaran dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi.

“Nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran ini juga adalah antara jaminan kepada kelangsungan, untuk Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera.

“Malaysia dibentuk dan dibangunkan dengan memberikan jaminan keadilan, perlindungan dan hak kepada setiap Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum; Melayu, Cina, India, Orang Asli, Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Bajau, Iban, Orang Ulu dan lain-lain.

“Oleh itu, semua ahli Keluarga Malaysia, bebas mengamalkan budaya warisan bangsa, menguasai pelbagai bahasa serta menganut agama yang dianuti dari leluhur masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, di sini, hari ini.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop; Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan; Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; barisan Menteri dan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pemilihan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir sebagai lokasi pertama penganjuran sambutan Hari Malaysia peringkat Kebangsaan Melaka adalah tepat dan bakal mengimbau kembali lipatan sejarah tanah air kita.

“Banda Hilir Melaka ini pernah menjadi saksi laungan pengisytiharan Kemerdekaan pada 20 Februari 1956, dan tanggal 30 Ogos 1957 pula, langit raya Banda Hilir ini menyaksikan turunnya Bendera Union Jack, tepat jam 6.30 petang.

“Catatan sejarah menjadi saksi bahawa pengisytiharan itu juga bagaikan satu penyembuh duka bangsa, selepas Melaka dicengkam penjajah lebih 400 tahun lamanya,” ujar beliau.

Pada majlis itu juga, Perdana Menteri bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan Timbalan Ketua Menteri II Sabah turut menyempurnakan upacara menandatangani Buku Watikah Pengisytiharan sebagai simbolik memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1725
Kongsi :
Previous post Hari Malaysia peluang terbaik untuk Melaka – KM
Next post Sambutan Hari Malaysia diadakan bergilir di setiap negeri – Annuar
Ubah saiz-+=