Kemalangan Elite: Kejadian berlaku terlalu cepat – Abd Razak

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

SHAH ALAM, 19 Dis – “Kejadian (kemalangan) itu terlalu cepat dan saya hanya tersedar sudah terbaring (cedera) di tepi jalan manakala kereta kami sudah berada di bawah treler,” luah Abd Razak Majit, 50, yang terselamat dalam nahas jalan raya yang mengorbankan isteri serta lapan anaknya dalam sekelip mata, Jumaat lepas.

Sembilan sekeluarga itu maut dalam kemalangan berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala Shah Alam ketika dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Padang Jawa, Klang selepas menghadiri kenduri kahwin di Melaka.

Abd Razak yang merupakan seorang pengawal keselamatan berkata kereta Proton Wira dinaiki mereka berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami masalah bateri dan beliau gagal menghidupkan enjin kenderaan itu walaupun telah mencuba berkali-kali.

Menurut Abd Razak, beliau menelefon anak saudara perempuannya, Ummi Nasuha Annuwar, 20, untuk pertolongan dan Ummi Nasuha tiba bersama rakan-rakannya, Mimie Nafiesa Abdullah, 19, dan Ihyat Sufi Shokip, 20, yang kemudian hanya cedera ringan dalam kemalangan itu.

“Kemalangan yang berlaku dalam hujan lebat itu mengakibatkan kaki kanan saya cedera dan masih dalam proses rawatan,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengebumian Allahyarham isteri dan lapan anaknya di Tanah Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini hari ini.

Allahyarham Norul Naziah Buyong, 37, selamat dikebumikan bersama lapan anaknya iaitu Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3; dan Muhammad Raid Fathi yang berusia 10 bulan, dalam satu liang lahad pada kira-kira 1.30 tengah hari tadi.

Abd Razak berkata beliau bersyukur urusan pengebumian berjalan lancar dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis yang membantu segala urusan.

Turut terbunuh dalam kemalangan yang mengorbankan 10 nyawa itu adalah seorang mekanik, Mohamad Rahimi Rolex, 27, yang dikebumikan di tanah perkuburan sama, kira-kira 1 pagi tadi.

Kejadian berlaku selepas sebuah treler dipercayai merempuh kereta mangsa, kereta Mohamad Rahimi serta sebuah Perodua Axia.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis dilapor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 11.42 malam.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1369
Kongsi :
Previous post Banjir: 11 mangsa di Merlimau dipindahkan guna lori angkut
Next post Piala AFF: Perjuangan Malaysia berakhir di tangan Garuda
Ubah saiz-+=