Kematian guru Matematik dikaitkan COVID-19 masih dalam siasatan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 20 Mei. – Kematian guru Matematik di sebuah sekolah rendah di daerah Melaka Tengah yang dikaitkan dengan COVID-19 masih dalam siasatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, buat masa ini belum ada pengesahan diterima pihaknya berhubung kematian guru wanita berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya benar ia berkait rapat dengan COVID-19 perkara itu akan diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya belum dapat pengesahan. Kes masih dalam siasatan (berhubung) sebab kematian.

“Jika disahkan COVID-19, pihak KKM akan mengumumkannya,” katanya ringkas kepada Melaka Hari Ini ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp.

Terdahulu, berita kematian guru wanita itu tular di aplikasi Whatsapp apabila didakwa mengalami sesak nafas ketika menjalankan sesi Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Mesej yang tular itu mendakwa ujian calitan guru berkenaan positif COVID-19, selain kes itu turut dikaitkan dengan satu varian baharu di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan) Datuk Noor Effandi Ahmad ketika dihubungi turut memaklumkan pihaknya tidak mempunyai maklumat berhubung kematian guru berkenaan.

Beliau bagaimanapun, menitipkan ucapan takziah kepada keluarga guru berkenaan yang disifatkan sangat berjasa kepada anak bangsa selama ini.

“Semoga keluarga arwah tabah berdepan dengan dugaan kehilangan ini. Beliau seorang pendidik yang tinggi nilai dedikasinya.

“Walaupun tidak berapa sihat di pagi hari, maklumat diterima beliau tetap melaksanakan proses PdPR untuk anak muridnya sebelum diserang sesak nafas.

“Semoga jasa bakti arwah kepada pendidikan anak-anak muridnya menjadi contoh kepada warga pendidik seluruh negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

504
Kongsi :
Previous post Affin terus tawar bantuan kewangan, pelepasan bayaran ansuran hingga Jun 2021
Next post COVID-19: Melaka catat 212 kes, empat kematian, tiga kluster baharu, angka tertinggi harian direkodkan
Ubah saiz-+=