Kempen Derma Darah: Usaha NGO dipuji

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PAYA RUMPUT 7 Sept. – Kempen Derma Darah yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) merupakan usaha murni bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi di Hospital Melaka (HM).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah, Rahmad Mariman berkata, usaha berkenaan seharusnya dipuji disebabkan kadangkala bekalan berkenaan tidak mencukupi dan memerlukan tenaga kerja kakitangan hospital turun padang bagi menganjurkan program seperti itu.

Ujarnya, dengan gerakan yang dianjurkan NGO mampu mengurangkan tenaga kerja kakitangan hospital disebabkan dibantu oleh NGO bagi mengelakkan kekurangan bekalan terbabit melalui acara yang dianjurkan.

“Sebelum ini ketika kita dilanda pandemik COVID-19, bekalan darah di HM tidak mencukupi dan hari ini ia masih terkawal disebabkan sokongan dari mereka ini yang menjadi perantara antara HM dan juga masyarakat.

“Kekurangan bekalan darah juga disebabkan faktor keluputan darah yang tidak boleh disimpan terlalu lama dan jika kita sentiasa membantu perkara ini maka bekalan darah ini pasti dapat dikekalkan.

“Terima kasih kepada semua NGO termasuk Persatuan Kebajikan Masyarakat Melaka (PKMM), Persatuan Kutharai Kovil dan Persatuan Veteran India Tentera Malaysia dalam menganjurkan program bermanfaat ini yang memberi kesan baik kepada pengurusan hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Derma Darah Gabungan NGO Melaka di Tesco Cheng, di sini tengah hari semalam.

Pada masa sama, Timbalan PKMM, Murugan Sivam berkata, program berkenaan merupakan acara tahunan yang dianjurkan persatuan itu bagi memastikan bekalan darah di Melaka mencukupi.

Katanya, program yang dirancang selama sebulan itu telah menerima sambutan masyarakat malah telah menerima jumlah pendaftaran memberangsangkan melalui sistem atas talian dan media sosial.

“Kita telah mempromosikan program ini melalui media sosial Facebook serta pelbagai lagi dan ia menerima sambutan memberangsangkan daripada orang ramai.

“Program pada hari ini turut menerima sambutan apabila ramai yang hadir juga merupakan individu yang pertama kali menawarkan diri bagi menderma darah.

“Malah, program yang dianjurkan dari 11 pagi hingga 9 malam juga menyasarkan hanya 150 orang yang hadir namun menerima sambutan lebih 60 orang telah berdaftar sejak tengah hari tadi dan kami menjangkakan jumlah itu akan meningkat dari apa yang disasarkan,” katanya.

Views:

625
Kongsi :
Previous post MBMB baik pulih tiga lokasi jalan berlubang
Next post MPHTJ kemuka 12 pelan pembangunan Zon Pelancongan
Ubah saiz-+=