Kempen MYBAIKHATI perkukuh daya saing negara untuk kurangkan jurang digital

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PUTRAJAYA 18 Mac. – Kempen MYBAIKHATI antara fokus Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi memperkukuh daya saing negara untuk mengurangkan jurang digital, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata kempen menggunakan konsep penyumberan khalayak itu akan melibatkan pengumpulan sumbangan alat peranti terpakai daripada syarikat perniagaan dan individu melalui cawangan terpilih enam syarikat telekomunikasi.

Syarikat telekomunikasi yang terlibat ialah Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan TIME dotCom Bhd.

Saifuddin dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kempen kutipan, baik pulih dan edaran alat peranti terpakai itu akan berlangsung selama 12 bulan bermula di Lembah Klang sebagai lokasi tumpuan utama sebelum diperluas ke seluruh negara.

“Sumbangan alat peranti terpakai daripada rakyat Malaysia dan syarikat yang prihatin akan dikumpul dan dibaik pulih dengan kos sehingga RM500 setiap unit oleh pihak syarikat telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata alat peranti yang berjaya dibaik pulih akan disalur kepada penerima B40 yang layak berdasarkan senarai disediakan Lembaga Hasil Dalam Negeri manakala alat peranti yang tidak dapat berfungsi akan dilupus dan dikitar semula secara selamat melalui program e-Sisa.

“Kempen MYBAIKHATI direncanakan atas kesedaran bahawa setiap keluarga memerlukan alat peranti pintar agar tidak ketinggalan dalam meneruskan kelangsungan hidup untuk belajar, bekerja dan berurusan setiap hari dalam suasana norma baharu,” katanya.

Saifuddin berkata konsep penyumberan khalayak alat peranti terpakai itu membawa rakyat serta sektor korporat untuk bersama-sama membantu warga senegara yang kurang berkemampuan ketika mendepani situasi sukar.

“Oleh itu, saya bagi pihak kerajaan menyokong penuh usaha ini dan menyeru orang ramai serta syarikat perniagaan untuk menjayakannya dengan mendermakan alat peranti terpakai yang boleh dibaik pulih dan digunakan semula,” katanya.

Beliau turut menyambut baik usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama-sama pemain utama industri telekomunikasi untuk menggerakkan kempen MYBAIKHATI.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

377
Kongsi :
Previous post Pemilik syarikat minyak masak bersubsidi, pembantu didakwa buat tuntutan palsu lebih RM600,000
Next post Vaksin Sinovac tidak perlu diragui, selamat digunakan- Khairy
Ubah saiz-+=