Kempen Pengurusan Anjing Terbiar inisiatif kurangkan populasi anjing liar

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KOTA LAKSAMANA 22 Jun – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) giat melaksanakan Kempen Pengurusan Anjing Terbiar sebagai usaha mengurangkan populasi anjing terbiar di dalam kawasan pentadbirannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata kempen itu dimulakan Mei lalu hingga Julai ini.

Chee Leong yang juga Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata Kempen itu merupakan salah satu strategi untuk memupuk penglibatan komuniti
setempat.

“Menerusi program kesedaran ini juga kita mahu menyebarkan maklumat tentang isu haiwan terbiar dan peranan boleh disumbangkan oleh komuniti bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) setempat.

“Pemerkasaan peranan komuniti terhadap isu anjing terbiar sangat penting kerana dapat membantu PBT dalam mengurangkan aduan kacau ganggu, sekali gus meningkatkan tahap kesedaran orang ramai tentang tanggungjawab pemilik anjing peliharaan bersama komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin pada Kempen Pengurusan Anjing Terbiar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Taman Warisan Dunia Jonker Walk di sini malam semalam.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut Chee Leong berkata, aktiviti pelesenan anjing peliharaan secara ‘in-situ’ juga dapat dilaksanakan sepanjang kempen berlangsung.

“Ia juga memudahkan pemilik untuk melesenkan haiwan  peliharaan dan memberikan maklumat yang tepat tentang kesan sekiranya anjing peliharaan tidak dilesenkan.

“Sepanjang kempen berlangsung, tinjauan di lokaliti kempen mendapati terdapat pengurangan populasi anjing terbiar dan pada masa yang sama jumlah permohonan lesen meningkat, begitu juga adopsi anjing di kawasan MBMB,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

126
Kongsi :
Previous post Memerang tersesat masuk rumah
Next post Garis panduan baharu, kesan pengayuh beca ‘segera’
Ubah saiz-+=