Kempen Shop And Be Rewarded galak pelancong berbelanja

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 23 Mac – Tourism Malaysia menyediakan baucar e-tunai bernilai RM450,000 menerusi Kempen ‘Shop And Be Rewarded’ yang dilancarkan hari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri berkata, kempen itu bermula 26 sehingga 28 Mac ini melibatkan lebih 30 pusat beli-belah yang mengambil bahagian di seluruh negara.

Menurutnya, kempen promosi itu menawarkan baucar e-tunai yang mana setiap pembelian minimun RM50 melayakkan mereka menerima diskaun RM10.

“Negeri Melaka dipilih sebagai lokasi perasmian kempen kerana ia bertepatan sebagai negeri pelancongan utama di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Perasmian Kempen Shop And Be Rewarded di Mahkota Parade di sini, hari ini.

Jelasnya, kempen itu adalah satu inisiatif kerajaan dalam membantu merancakkan semula sektor membeli-belah di Malaysia yang terkesan sepanjang pandemik COVID-19.

“Namun, kelonggaran diberikan kerajaan dengan membenarkan pembukaan sektor ekonomi telah memberi impak positif terhadap institusi beli-belah.

“Pada 2019, industri membeli-belah menjadi penyumbang utama kepada komponen perbelanjaan pelancong domestik sebanyak 37.8 peratus,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Zulkifli Md Said dan Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) Malaysia, Tan Sri Ir Teo Chiang Kok.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama dengan PPK Malaysia untuk menjayakan kempen tersebut.

Sementara itu, Chiang Kok berkata, kira-kira 2,000 outlet perniagaan daripada pelbagai kategori terlibat dalam kempen berkenaan.

“Penganjuran kempen ini adalah inisiatif yang efektif sekali gus membantu memulihkan industri beli-belah yang terkesan sepanjang pandemik COVID-19.

“Kita harap kempen ini dapat diteruskan di masa akan datang sekali gus merancakkan sektor ekonomi pelancongan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

501
Kongsi :
Previous post Rina Harun harap program ‘Smart Classroom’ dapat diperluas
Next post Operasi ekzos bukan cari wang untuk kerajaan-KPN
Ubah saiz-+=