Kenaikan kadar bantuan ‘Back To School’ MAIM ukir senyuman

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER MOLEK 20 Februari – Kenaikan kadar bantuan persekolah ‘Back To School’ disalurkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memberi kelegaan kepada penerima sumbangan khususnya golongan asnaf.

Pemberian baucar bantuan persekolahan yang sebelum ini bernilai RM250 dinaikkan kepada RM300 setiap seorang bagi persediaan sesi persekolahan 2024 yang akan bermula pada Mac depan.

Bagi penerima sumbangan, Dhiah Draman, 40, berkata, perkara itu adalah berita gembira buat dirinya dan penerima yang lain dalam mempersiapkan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Whatsapp Image 2024 02 19 At 5.26.57 Pm

DHIAH bersama anaknya menunjukkan baucar bantuan persekolahan diterima.

“Terharu dan gembira apabila dimaklumkan kadar bantuan tahun ini dinaikkan. Bagi saya setiap ringgit yang diberikan untuk membuat persiapan sekolah anak-anak amat bernilai.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang ini, saya rasa keputusan diambil MAIM ini amat tepat dalam membantu ibu bapa menyediakan kelengkapan yang cukup untuk anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengagihan (Baucar) ‘Back To School’ Kepada Asnaf Fakir Dan Miskin MAIM, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, baru-baru ini.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, dengan sumbangan bantuan yang disalurkan MAIM itu dia dapat membeli kelengkapan untuk dua anaknya masing-masing berusia sembilan dan 10 tahun.

“Dengan baucar ini dapatlah tarik nafas lega apabila kelengkapan seperti pakaian, kasut dan beg sekolah anak dapat disediakan, cuma saya perlu menguruskan pembayaran yuran nanti,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima sumbangan Hamalina Jais, 30, berkata, dia agak terkejut apabila dimaklumkan sumbangan persekolahan pada tahun ini dinaikkan.

“Anak-anak memang penerima bantuan persekolah setiap tahun dan apabila dimaklumkan tahun ini baucar diberikan RM300 ia meringankan beban.

“Dengan pertambahan sumbangan dapatlah saya membeli kelengkapan yang cukup buat dua anak, Alhamdulillah dan terima kasih kepada MAIM dalam keprihatinan pihaknya membantu kami,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

314
Kongsi :
Previous post Sasar 100,000 nikmati produk pelancongan percuma di Melaka
Next post Aliran trafik di Melaka pada skala 1
Ubah saiz-+=