Kerajaan kaji penetapan harga siling minyak masak botol ikut harga pasaran

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SUNGAI BESAR 12 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengkaji untuk menetapkan harga siling minyak masak botol lima kilogram mengikut harga pasaran semasa.

Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid berkata, perbincangan mengenai harga siling itu akan diadakan bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kewangan, Rabu ini.

“Mesyuarat akan membincangkan bagaimana hendak mengatasi masalah ini (kenaikan harga minyak masak).

“Keputusan itu (penetapan harga siling minyak masak) kita akan tengok dalam mesyuarat nanti,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan bekalan minyak masak dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid

Beliau berkata minyak masak mengalami kenaikan harga ketika ini susulan kenaikan harga minyak sawit mentah.

Rosol dalam pada itu turut membidas dakwaan seorang wakil rakyat pembangkang bahawa minyak masak sekilogram yang disubsidi kerajaan merupakan minyak kitar semula.

Beliau berkata kerajaan menyediakan kuota sebanyak 60,000 metrik tan minyak masak sekilogram bersubsidi sebulan untuk seluruh negara dan jumlah dijangka mencukupi memandangkan kadar purata penggunaan minyak masak sekeluarga adalah 1.8 kilogram sebulan.

Menurut Rosol, beliau bimbang sekiranya terdapat peniaga yang akan mengambil kesempatan terhadap subsidi minyak masak dan sehubungan itu, para pegawai KPDNHEP akan sentiasa turun padang bagi melakukan pemantauan.

Katanya sejak 13 Mei tahun lalu hingga kini, KPDNHEP sudah memeriksa 590,876 premis perniagaan termasuk stesen minyak, restoran, pasar raya dan pusat beli-belah serta mengeluarkan 346 kompaun bernilai RM1.091 juta kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

616
Kongsi :
Previous post Malaysia tidak hantar jemaah haji tahun ini- Dr Zulkifli
Next post KDN minta UNHCR serah maklumat lengkap pemegang kad untuk vaksinasi
Ubah saiz-+=