Kerajaan negeri dialu-alukan jalin kerjasama bersama Persekutuan untuk dapatkan bekalan vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KUALA LUMPUR 24 Feb.- Kerajaan negeri dialu-alukan untuk membeli vaksin sendiri bagi menampung keperluan rakyat, namun ia bergantung kepada bekalan vaksin daripada syarikat pengeluar,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, bagaimanapun perkara itu berdepan dengan cabaran terutama apabila membabitkan bekalan vaksin.

“Sekarang ini tidak ada bekalan, melainkan ada vaksin-vaksin baharu daripada China dan sebagainya yang mula dijual pada pasaran swasta.

“Buat masa ini tidak ada bekalan atau tidak ada pendaftaran daripada mana-mana syarikat yang telah kita umumkan untuk kerajaan Persekutuan tetapi kalau nanti kerajaan negeri mampu mencari bekalan, saya rasa kita boleh selaraskan, tidak ada masalah,” katanya yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ketika temubual melalui panggilan video dalam program Bicara Naratif di TV1, RTM, malam tadi.

Sebelum ini, kerajaan Persekutuan serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik hasrat Selangor yang mahu membeli lima juta vaksin Covid-19 bagi kegunaan rakyat negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, tindakan kerajaan negeri itu dilihat berupaya mengurangkan beban kerajaan Persekutuan dalam pembelian vaksin.

Khairy berkata, Pasukan Pengurusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) yang diketuai dirinya telah mengadakan sesi libat urus bersama Amirudin semalam bagi membincangkan kerjasama yang boleh dilakukan untuk mencapai hasrat itu.

“Meskipun tidak ada bekalan sendiri namun untuk melaksanakan Program Imunisasi Kebangsaan di negeri Selangor, kita harus bekerjasama.

“Meskipun kerajaan Pusat dan kerajaan negeri itu berbeza parti politik, perkara itu ditolak tepi yang penting adalah penyelarasan antara kerajaan Pusat dan negeri, tetapi jika kerajaan negeri itu mendapat bekalan tambahan, Alhamdulillah,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, Program Imunisasi COVID-19 dijangka dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini meskipun sasaran sebenar tamat pada Februari 2022.

Katanya, ini berdasarkan tahap kecekapan dan profesionalisme Kementerian Kesihatan (KKM) selain ketibaan vaksin mengikut jadual.

Selain itu katanya, pada fasa ketiga, Pusat Vaksinasi Mega akan ditubuhkan antaranya di dalam stadium serta pusat persidangan sekali gus membolehkan lebih ramai orang dapat divaksinasi pada satu-satu masa.

“Bagaimanapun, apa yang masih lagi menjadi tanda tanya ialah sama ada kita akan mendapat vaksin mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita sudah menandatangani perjanjian dengan beberapa syarikat termasuk Pfizer tetapi kita masih lagi bergantung kepada kapasiti kilang pembuatan mereka di luar negara… kalau mereka menepati perjanjian atau kontrak itu, saya percaya dan yakin kita dapat selesaikan sebelum akhir tahun ini,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

346
Kongsi :
Previous post MKN, KPM bincang esok kelonggaran rentas daerah, negeri
Next post Vaksin Pfizer-BioNtech mampu kurangkan risiko OKU dijangkiti COVID-19
Ubah saiz-+=