Kerajaan negeri sokong saranan KPKT

Masa Membaca:59 Saat

AYER KEROH 17 Ogos – Kerajaan negeri menyokong cadangan memperkenal sistem penggiliran penempatan antara pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti yang disarankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) jika ia dipersetujui kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, pihaknya sentiasa menyokong saranan dibuat kerajaan, sekiranya ia memberi kebaikan kepada semua pihak dalam memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat.

“Bila seseorang itu terlampau lama duduk di satu tempat (bekerja) sama ada moral jatuh ataupun akan berlaku sesuatu diluar jangkaan. Eloknya jika berhijrah sementara dan ia dapat menaikkan semangat di tempat baharu.

“Kalau rasa bersesuaian (mempraktikkan untuk di Melaka) kita menyokongnya tetapi sekiranya proses pertukaran kerap berlaku ia turut boleh menjejaskan prestasi kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Hadir sama Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, usaha itu adalah sebagai langkah menyelesaikan serta membendung amalan salah laku seperti rasuah dalam PBT.

Bagaimanapun, perkara itu masih di peringkat perbincangan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerajaan negeri dan garis panduan bagi sistem itu dijangka dapat disiapkan hujung tahun ini.

Views:

265
Kongsi :
Previous post PM komited bawa negara kembali kepada keadaan normal
Next post Speaker DUN rasmi Program Ramah Mesra Pelajar Baharu KUIM
Ubah saiz-+=