Kerajaan sasar 75,000 orang disuntik vaksin sehari

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

Kuala Lumpur: Kerajaan menyasarkan seramai 75,000 orang diberi suntikan vaksin sehari apabila program vaksinasi COVID-19 kebangsaan bermula di 600 pusat vaksinasi di seluruh negara mulai Mac 2022.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah itu adalah sasaran awal kerajaan.

Katanya, bergantung kepada bekalan vaksin yang diperoleh, kementerian menyasarkan jumlah itu dapat ditingkatkan kepada 150,000 orang meliputi dos kedua.

“Ini bagi membolehkan vaksinasi terhadap 27 juta orang diselesaikan atau bersamaan 80 peratus populasi negara ini, pada Mac tahun depan atau paling cepat hujung tahun ini,” katanya dalam temubual dengan portal kesihatan CodeBlue, semalam.

Menurut Khairy bagi memastikan keberkesanan program, kerajaan akan menambah jumlah kakitangan vaksinasi daripada 7,000 kepada 10,000 orang bergantung kepada bilangan kawasan atau tapak vaksinasi.

Katanya, selain doktor turut terbabit menjalankan vaksinasi adalah pembantu perubatan, jururawat, penyelia jururawat, pelajar perubatan, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita bukan hanya menggerakkan mereka dalam perkhidmatan kesihatan, malah komuniti sukarelawan seperti Bulan Sabit Merah, St John Ambulance dan seberapa ramai mungkin untuk terlibat sama. Ramai sukarelawan,” katanya.

Khairy menjelaskan beliau mengambil maklum kemungkinan berlaku kelewatan bekalan membabitkan vaksin dibangunkan Pfizer dan AstraZeneca, termasuk yang dihasilkan firma China serta Russia.

“Portfolio vaksin akan terus diimbangi dan terus disesuaikan supaya kita dapat perolehi jumlah sepatutnya sehingga suku keempat tahun ini.

“Kita mahu berusaha untuk mencapai seramai mungkin pada suku kedua, suku ketiga dan suku keempat. Kita telah kenal pasti kira-kira 600 kawasan untuk vaksinasi dengan beroperasi 24 jam.
Selain itu, kita juga mengenal pasti kawasan lain seperti stadium atau tempat yang luas.

“Saya fikir jika kita pertimbang dalam 75,000 orang sehari, dengan kombinasi 600 tapak (kawasan), tapak KKM (Kementerian Kesihatan) termasuk klinik swasta dan hospital swasta ditambah kawasan vaksinasi luas yang saya sedang aturkan…jika rancangan berjalan lancar, kita boleh selesaikan paling cepat pada Disember,” katanya.

Khairy berkata, kerajaan turut melakukan pemetaan tapak vaksinasi berdasarkan kepadatan populasi dan jangkaan permintaan serta anggaran berapa ramai orang boleh menerima suntikan di pusat berkenaan setiap hari, bagi mereka yang tinggal dalam radius 10 kilometer (km).

“Dalam tempoh sebulan atau kurang, kita berharap akan memperoleh jangkaan memuaskan bila program itu boleh diselesaikan sekiranya ada bekalan,” katanya.

Beliau berkata, 600 tapak vaksinasi yang dikenalpasti adalah hospital KKM dan klinik kesihatan; hospital universiti; klinik dan hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM), klinik swasta serta kemudahan kesihatan swasta.

Jelasnya, perbincangan perlu diadakan di peringkat kerajaan negeri dengan klinik swasta bagi melihat kapasiti vaksinasi dan lokasi masing-masing.

“Kadar vaksinasi di klinik swasta…kita unjurkan tidak akan terlalu tinggi. Ini lebih kepada kemudahan. Sekiranya warga tua tinggal di kawasan tertentu yang mungkin jauh dari hospital atau tapak berkenaan, mereka boleh pergi ke klinik swasta.

“Kita sudah senaraikan dalam laman web serta (aplikasi) MySejahtera yang mana anda boleh buat temujanji,” katanya.

Views:

743
Kongsi :
Previous post Menteri hargai jasa ‘wira’ negara
Next post PM ucap selamat menyambut Thaipusam
Ubah saiz-+=