Menteri hargai jasa ‘wira’ negara

Masa Membaca:55 Saat

SERDANG 27 Jan. – Petugas barisan hadapan serta pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, telah disantuni oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menerusi satu sidang video hari ini.

Dalam sidang video berkenaan, Mohd Redzuan turut mendengar taklimat daripada Pengarah PKRC, Dr Shahbudin Ibrahim berkaitan operasi pusat kuarantin terbabit, di samping bertanya khabar serta mendapatkan perkembangan terkini pesakit.

Beliau turut menyatakan rasa syukur dan terima kasih di atas perkhidmatan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan buat pesakit serta petugas kesihatan yang menjalankan tugas di pusat tersebut.

“Saya berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan atas usaha yang dijalankan mereka sejak mula-mula wabak ini menular di negara kita.

“Saya turut menghargai peranan agensi di bawah portfolio saya iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) yang menguruskan pusat kuarantin ini, selama ini,” katanya.

Sebelum beliau menamatkan sesi sidang video itu, beliau mendoakan kesejahteraan serta dikurniakan kesihatan oleh Allah SWT kepada semua yang terlibat, agar dapat kembali menjalankan tugas seperti sedia kala.

Views:

356
Kongsi :
Previous post Kajian klinikal fasa 3 vaksin COVID-19 bermula hari ini membabitkan 3,000 sukarelawan
Next post Kerajaan sasar 75,000 orang disuntik vaksin sehari
Ubah saiz-+=