Sorting by

×

Kerajaan siap siaga hadapi banjir

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

ALOR GAJAH 23 Sept. – Kerajaan sentiasa bersiap-siaga membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku bencana banjir di seluruh negeri menjelang penghujung tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, bagi menghadapi kemungkinan itu, beliau sudah mengadakan beberapa pertemuan bersama Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Pejabat Bencana Negeri dan daerah bagi membincangkan bentuk persediaan yang perlu dilakukan.

Katanya, perbincangan itu turut meliputi persediaan dari segi penyediaan aset di bawah APM yang boleh diguna pakai untuk proses pemindahan mangsa bencana terutama pada musim banjir.

“Kita memastikan barang-barang keperluan disediakan bagi memastikan sekiranya berlaku banjir termasuk menyediakan khemah di tempat pemindahan sementara mangsa banjir serta sedang menyiapkan aset yang ada di bawah APM utk diguna pakai semasa kita menguruskan mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Jelatang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata pihaknya turut berbincang mengenai persedian agensi berkaitan mengenai prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang perlu dipatuhi ketika memindahkan mangsa banjir.

“Kita mengeluarkan SOP untuk diguna pakai tentang kaedah menguruskan dan mengangkut manga dari lokasi banjir sekiranya memerlukan kenderaan tertentu.

“Jadi kita bersedia dari sudut pemakaian ‘frontliner’ itu sendiri supaya tiada ‘close contact’ atau ‘direct contact’ yang kita tidak tahu sama ada positif atau negatif Covid-19,” katanya.

Ujarnya, tumpuan pada ketika ini adalah bantuan di kawasan mangsa banjir kilat di beberapa kawasan utara tanah air termasuk di Baling, Kedah yang dijangka terbabit dengan fenomena air pasang besar.

Justeru katanya, kerajaan akan memastikan kawasan yang terlibat dengan fenomena itu akan diberi bantuan segera kerana telah bersedia lebih awal berhadapan dengan bencana itu.

Views:

286
Kongsi :
Previous post MBMB sertai dua kategori Anugerah Kejiranan Hijau
Next post Kerajaan umum BPN2.0 bantu golongan B40, M40
Ubah saiz-+=