Kerapkan gotong-royong musnah sarang Aedes

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

PENGKALAN BATU 12 Julai – Kerajaan Negeri merancang untuk mengadakan lebih banyak aktiviti gotong-royong bertujuan memusnahkan sarang pembiakan nyamuk Aedes di taman perumahan dan medan selera seluruh Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, pelaksanaan program itu tidak boleh ditangguhkan berikutan Melaka mencatatkan peningkatan kes demam denggi setiap minggu.

Katanya, pada minggu lalu sehingga minggu epid 27 (ME 27) terdapat peningkatan tujuh kes menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 526 kes.

“Kita melihat pada laporan ME setiap minggu dan Melaka mencatatkan purata setiap minggu 20 kes. Antara usaha yang disarankan adalah dengan memusnahkan lokasi pembiakan nyamuk Aedes menerusi gotong-royong secara kerap.

“Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sentiasa mengadakan operasi dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di premis, medan selera dan taman perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Tahun 2023, Peringkat Negeri Melaka di sebuah kilang, di sini, hari ini.

Berikutan itu beliau meminta kerjasama semua pihak termasuk orang awam untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan usaha itu.

“Usaha mengelakkan peningkatan demam denggi boleh dijayakan dengan kerjasama semua pihak. Meskipun Melaka berada di tangga ke-10 berbanding negeri-negeri lain dalam carta demam denggi, namun kita harus agresif mencegah pembiakan di laman sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3003
Kongsi :
Previous post ‘Reunion’ Persatuan Guru Kebangsaan
Next post Wanita tikam diri sendiri selepas kelar leher anak
Ubah saiz-+=