Keris tinggalan Hang Tuah bakal dipamerkan selama sebulan di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 21 Mei – Pameran Hang Tuah yang bakal berlangsung selama sebulan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, bermula 10 Jun, bakal menarik peminat dan pengkaji sejarah dari seluruh dunia.

Ia berikutan pameran tersebut bakal mempertontonkan kepada umum segala artifak dan bahan sejarah yang ditemui di seluruh dunia, sekali gus membuktikan pahlawan Melayu itu bukanlah mitos, sebaliknya legenda besar dalam sejarah peradaban Melayu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, hasil kajian yang dijalankan di beberapa negara termasuk di nusantara, pelbagai tinggalan sejarah laksamana tersohor itu telah ditemui dan bakal dipamerkan.

Jelas beliau, antara yang bakal mencuri tumpuan ialah keris tinggalan Laksamana Hang Tuah yang masih disimpan oleh warisnya yang berasal dari Bintan, Indonesia.

Menurut Ab Rauf, dua keris itu adalah sebilah Keris Sundang dan sepasang Keris Hukum yang dipercayai kepunyaan Laksamana Hang Tuah dan diwarisi sejak turun-temurun sehinggalah kepada waris ke-11 Hang Tuah iaitu, Tun Muhammad Amin Tun Ahmad.

“Hasil penyelidikan kita, waris ke-11 ini telah menyimpan beberapa artifak yang diwarisi daripada keluarganya yang menjadi pemegang amanah untuk menjaga harta-harta pusaka ini.

“Melaka cukup bertuah kerana, pihak waris telah memberi kepercayaan untuk mempamerkan barangan warisan ini yang mempunyai kisah-kisah tersendiri kepada rakyat pada pameran ini.

“Selain keris, beberapa tinggalan lain akan turut dipamerkan, termasuklah susur galur atau salasilah riwayat hidup Hang Tuah dalam versi carta yang besar akan dipamerkan kepada umum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Artifak oleh waris ke-11 Laksamana Hang Tuah dari Bintan, Riau Indonesia, Tun Muhammad Amin Tun Ahmad, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalannya, Datuk Zaidi Attan; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, selain artifak daripada waris, pelbagai lagi tinggalan sejarah dari beberapa buah negara seperti Jepun, India, Turkiye dan Belanda akan dipamerkan pada pameran berkenaan.

Semua itu, jelas beliau, adalah hasil dapatan daripada kajian yang dijalankan penyelidik-penyelidik dari Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) yang telah menjelajah ke negara-negara yang mempunyai hubung kait pelayaran dan pengembaraan Laksamana Hang Tuah.

“Pelbagai misteri dan persoalan mengenai Hang Tuah akan terjawab, jadi saya berharap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk datang ke pameran itu nanti.

“Kerajaan Negeri komited mahu memastikan bahawa Hang Tuah ini merupakan satu legenda yang akan mewarnai kehidupan pensejarahan di Melaka.

“Kita bukan mahu mengubah sejarah, tetapi membetulkan kebengkokan sejarah yang selama ini tidak mendapat jawapan yang sebenar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

819
Kongsi :
Previous post Perluas KKP, kekalkan pencapaian positif MBMB – Datuk Bandar
Next post Empat individu tular masak mi segera di stesen minyak didenda RM500
Ubah saiz-+=