Perluas KKP, kekalkan pencapaian positif MBMB – Datuk Bandar

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 21 Mei – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memperluaskan pematuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) terhadap kontraktor dan pembekal yang berurusan dengan jabatannya.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata jika ia dapat dilaksanakan dengan baik, sudah pasti persekitaran yang kondusif dan selamat dapat diwujudkan di kawasan persekitaran bandaraya.

“Sudah tentu pelaksanaan ini turut memberi kesan yang baik terhadap warga bandaraya.

“Justeru, saya meminta agar semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka khususnya MBMB sendiri mengekalkan segala pencapaian dalam aspek KKP dan terus menambah baik amalan KKP ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Hari KKP Peringkat MBMB di Dewan Taming Sari MBMB di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Ahli Majlis MBMB, Mustafa Mohamed Baboo; Setiausaha Bandaraya MBMB, Ahmad Azlan Ahmad Salleh dan Pegawai Perubatan daripada Columbia Asia Hospital Cheras, Dr. S. Malar Santhi.

Untuk rekod MBMB pernah menerima Anugerah Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan Negara bagi kategori Perkhidmatan Awam & Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun 2020 dan 2021 serta naib johan bagi Pertandingan Video Tiktok Keselamatan Pekerjaan 2023.

Selain itu, MBMB turut menerima Anugerah Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Perindustrian Malaysia (MiSHA) bagi kategori OSH Leadership Award 2023, MISHA Award bagi kategori ‘Excellence Award On Osh Risk Management’ dan Individu MISHA Award bagi Tokoh Kepimpinan KKP bagi tahun 2023.

Pada program itu MBMB turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi Pertandingan Video TikTok dan Ubah Lirik Lagu serta Pertandingan Ubah Lirik Popular Bertemakan KKP.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

67
Kongsi :
Previous post Suri rumah rugi RM20,000 terpedaya komisen tiket loteri
Next post Keris tinggalan Hang Tuah bakal dipamerkan selama sebulan di Melaka
Ubah saiz-+=