Keris tinggalan Hang Tuah simpan 1,001 cerita

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 22 Mei – Mungkin ada yang menganggap kewujudan Hang Tuah sebagai mitos dan tidak kurang menyifatkannya sebagai hanya kisah rakyat dahulu kala.

Namun, Kerajaan Negeri Melaka tampil mengambil inisiatif membuktikan kewujudan pahlawan tersohor itu menerusi kajian dan penyelidikan di beberapa buah negara bagi meluruskan kembali sejarah yang dibengkokkan.

Kajian yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu berjaya membawa kepada penemuan waris ke-11 Hang Tuah yang berasal dari Bintan Indonesia, Tun Muhammad Amin Tun Ahmad, 49.

Menurut Tun Muhammad Amin, inisiatif yang dilakukan Kerajaan Negeri itu merupakan satu penghormatan besar buatnya dan keluarga dalam berkongsi kisah dan memberi maklumat yang tepat mengenai pahlawan yang juga ahli diplomatik terkenal ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Menurutnya, apabila bertemu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang menyuarakan hasrat untuk menganjurkan Pameran Hang Tuah, dia sebagai waris bersetuju untuk berkongsi beberapa artifak tinggalan laksamana Melaka itu bagi dipertontonkan kepada umum.

Jelasnya, antara barang tinggalan yang dibawa ke Melaka ialah sebilah Keris Sundang dan sepasang Keris Hukum yang berusia kira-kira 600 tahun.

“Kedua-dua barang tinggalan ini mempunyai kisahnya yang tersendiri, seperti Keris Sundang atau Keris Panjang dengan hulu keris yang diperbuat daripada perak merupakan hadiah daripada Tun Perak yang pernah menyelamatkan Hang Tuah ketika zaman remajanya.

“Apabila dewasa, Hang Tuah telah dikahwinkan dengan anak Tun Perak dan keris ini dianugerahkan kepada Hang Tuah sebelum diwariskan kepada warisnya.

“Keris Hukum atau Keris Sula pula merupakan tinggalan yang dekat dengan Melaka kerana ia dipercayai senjata yang digunakan untuk membunuh Hang Tuah yang telah difitnah, namun diselamatkan dan ia menjadi salah satu keris tinggalan sejarah,” katanya.

Img 20240521 224652 548
KERIS Sundang dan Keris Hukum bakal dipamerkan pada Pameran Hang Tuah yang berlangsung selama sebulan bermula 10 Jun depan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan artifak tinggalan sejarah itu kepada Ketua Menteri untuk dipamerkan pada Pameran Hang Tuah yang berlangsung selama sebulan, bermula pada 10 Jun depan.

Majlis itu turut disaksikan Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalannya, Datuk Zaidi Attan serta Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah.

Menurut Tun Muhammad Amin, selain keris, terdapat beberapa lagi barang tinggalan Hang Tuah yang disimpan di Bintan seperti gelang, buku catatan dan Meriam Rentaka.

Jelasnya, sebagai keturunan yang mempunyai barangan tinggalan Hang Tuah, pihaknya pernah ditawarkan wang bernilai jutaan ringgit daripada beberapa pihak yang ingin memilikinya.

“Banyak pihak yang tampil dan menawarkan sejumlah wang bagi membeli tinggalan ini tetapi sebagai waris menjadi amanah untuk kami terus memeliharanya sebagai bukti penceritaan.

“Kami pernah dikunjungi pihak yang membawa wang tunai kira-kira RM1 juta untuk dapatkan meriam tetapi kita tidak menjualnya kerana barangan ini nilainya amat besar berbanding wang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

318
Kongsi :
Previous post Guru JAIM wajib guna aplikasi Telegram MyMelaka News
Next post Insiden Balai Polis Ulu Tiram: Dua pelajar dibebaskan, lima sekeluarga masih disiasat
Ubah saiz-+=