Kes kematian Adib: “Semua sudut kes ini akan disiasat sepenuhnya”- KPN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 4 Julai – Polis Diraja Malaysia menegaskan siasatan berhubung kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim masih diteruskan dan akan memanggil semula saksi berkaitan selepas mendapat arahan daripada Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata sebelum ini pihaknya telah menghantar kertas siasatan kes itu kepada Jabatan Peguam Negara namun pihaknya diminta memperkemaskan lagi siasatan tersebut.

“Inilah yang sedang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), sebelum ini saya dapati tindakan yang telah dijalankan begitu tersusun dan mematuhi Prosedur Operasi Standard siasatan.

“Saya beri jaminan, semua sudut kes ini akan disiasat sepenuhnya dan tidak akan menyembunyikan apa-apa fakta yang berkaitan dengannya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin agar polis memanggil semula semua saksi dalam kes kematian anggota bomba itu bagi mengheret pelaku sebenar jenayah itu ke muka pengadilan.

Abdul Hamid juga berkata pihaknya berdepan isu teknikal dan proses memburu saksi yang menjadi antara punca kes itu mengambil masa yang lama.

“Ada maklumat diterima tidak tepat dan tidak mendalam, ia sedikit sebanyak memperlahankan tindakan polis,” katanya.

Rabu lepas, Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed mengesahkan pihaknya akan menyelesaikan segala tindakan dan arahan pihak pendakwa raya berhubung kes itu dalam waktu terdekat.

“Kita akan selesaikannya dalam tempoh terdekat ini dan akan berbincang semula dengan pihak peguam negara untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan itu, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

– BERNAMA

Views:

300
Kongsi :
Previous post Sulaiman singgah ke warung Dak Senah
Next post BN menang besar PRK Chini
Ubah saiz-+=