Kesedaran pembudayaan norma baharu akan diperluaskan

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 8 Dis. – Melaka akan memperluaskan pembudayaan norma baharu di negeri ini seiring dengan hasrat kerajaan bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat secara menyeluruh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir, Datuk Seri Utama Idris Haron berkata, sasaran itu akan diperluaskan ke seluruh Melaka melalui pucuk pimpinan akar umbi yang mampu menjadi galakan mendalam kepada masyarakat setempat.

Jelasnya, pembudayaan norma baharu yang disarankan kerajaan akan difokuskan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai langkah memperluaskan pendidikan dan penguatkuasaan menyeluruh kepada masyarakat.

“Kesedaran pembudayaan norma baharu ini perlu diperluaskan secara menyeluruh kerana perubahan dalam sesuatu budaya itu bukan mudah diubah dalam tempoh yang singkat bagaimanapun ia perlu ada pengetahuan mendalam yang seiring dengan kesungguhan dan pemantauan semua pihak.

“Bagi membudayakan perkara ini kita memilih pucuk pimpinan masyarakat ini sebagai simbol kepada masyarakat agar mesej ini sampai kepada mereka dengan pelbagai kesedaran dalam mencegah penularan pandemik COVID-19.

“Jika guru di sekolah menjadi pemangkin dalam mendidik anak-anak, namun pemimpin dalam kalangan JPKK inilah yang bertanggungjawab dalam kelompok masyarakat agar penguatkuasaan dan kesedaran itu lebih difokuskan secara tepat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Pembudayaan Norma Baharu Bersama JPKK Melaka Tengah diadakan di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Mohd Nasrul Menhat dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Melaka Tengah, Mohd Azri Mohideen Abdul Kadir.

Pada program yang diadakan sejak awal pagi tadi telah dihadiri kira-kira 120 JPKK dari kawasan Melaka Tengah dengan pelbagai pendedahan melalui seminar yang disampaikan beberapa agensi terlibat.

Menurut Idris dalam ucapan perasmiannya, acara tersebut berkemungkinan merupakan antara acara terawal dan pertama kali diadakan di negara ini bagi menyampaikan matlamat dan pendedahan kepada JPKK yang menjadi medium perantara kepada masyrakat.

Katanya, acara diadakan itu merupakan platform terbaik kerajaan negeri bagi memastikan mesej tersebut mampu diterima kepada rakyat di negeri ini.

“Program seperti ini memberi pelbagai manfaat dalam pembudayaan norma baharu dan kerajaan negeri akan mensasarkan program seperti ini membabitkan kepada semua JPKK dari Daerah Jasin dan Alor Gajah dalam masa terdekat ini,”katanya.

Views:

629
Kongsi :
Previous post MBSB angkat sumpah Ikrar Bebas Rasuah
Next post Lukisan lima pahlawan Melaka tarikan terbaharu pelancong
Ubah saiz-+=