Kesihatan semakin merosot, Pak Lan ‘kirim salam’

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

TABOH NANING, 6 Oktober – Keadaan kesihatan pelakon veteran Roslan Saleh atau lebih dikenali sebagai Pak Lan, 65, kini semakin merosot.

Sudahlah diuji dengan penyakit kencing manis, kini pelakon filem ‘Munafik’ itu juga terpaksa menerima hakikat hilang penglihatan, sejak April lalu.

Lebih teruk lagi, kata Pak Lan, beliau mengalami lecur di bahagian tapak kaki pada Mei lalu sehingga tidak mampu bergerak dan hanya terlantar di katil.

“Keadaan Pak Lan sangat lemah sekarang. Hendak bergerak ke mana-mana pun susah sebab saraf mata sudah mati. Pak Lan sudah tidak boleh melihat dan berjalan lagi macam biasa.

“Sedih, Pak Lan sudah tak boleh buat perkara yang Pak Lan minat macam berniaga. Kalau berlakon memang sudah lama tinggal sebab kencing manis.

“Pak Lan reda dengan apa yang berlaku dan percaya semua ini berlaku ada hikmah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Rantau Panjang, di sini, hari ini, selepas diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin.

WhatsApp Image 2022-10-06 at 1.07.02 PM
PAK Lan ketika diziarahi di kediamannya di Kampung Rantau Panjang.

Sementara itu, veteran yang pernah membintangi filem ‘Sembilu’ itu juga menghargai semua pihak terutama rakan-rakan artis yang sudi menziarahinya sejak beliau terlantar sakit.

“Insya-Allah semua akan baik-baik sahaja. Pak Lan rindu semua. Minta rakan-rakan yang mengenali doakan kesembuhan Pak Lan.

“Kalau nak jenguk, datanglah bila-bila masa. Rumah Pak Lan sentiasa terbuka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3129
Kongsi :
Previous post Agong lawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara
Next post UTEM perkukuh jaringan kerjasama strategik
Ubah saiz-+=