UTEM perkukuh jaringan kerjasama strategik

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 6 Oktober – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengorak langkah apabila mengukuhkan lagi jaringan kerjasama strategik dengan 13 industri termasuk agensi di negeri ini.

Naib Canselor UTeM Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) itu penting dalam memastikan bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan khidmat perundingan di UTeM dapat dijalankan dengan lebih berkualiti.

“UTeM sebagai salah sebuah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) sangat menitiberatkan penglibatan bersama industri dan agensi ini bagi memastikan kadar Graduate Employability terus meningkat.

“Selain itu, kerjasama penyelidikan dan inovasi di antara UTeM bersama agensi dan industri juga penting dalam memastikan kepakaran yang diperoleh UTeM dapat dikongsi bersama industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran MoA dan MoU antara UTeM bersama Agensi dan Industri, di Ayer Keroh, hari ini.

Majlis pertukaran MoA dan MoU itu disaksikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Canselor UTeM.

Hadir sama, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

Massila berkata, antara pengisian MoU dan MoA adalah seperti pengwujudan pusat latihan, perkongsian kepakaran, pendedahan industri kepada pelajar dan pelaksanaan kursus bagi kakitangan serta pelajar.

“Menerusi jalinan kerjasama strategik ini diharap akan membuahkan hasil yang positif kepada semua pihak yang terbabit seterusnya dapat membantu merancakkan lagi pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Terdahulu, antara agensi dan industri yang terbabit adalah MAIM, PERTAM Service Sdn Bhd serta Petronas Lubricant International Sdn Bhd.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2788
Kongsi :
Previous post Kesihatan semakin merosot, Pak Lan ‘kirim salam’
Next post Melaka sasar penyertaan kaum India, Cina dalam koir perpaduan – Exco
Ubah saiz-+=