Melaka sasar penyertaan kaum India, Cina dalam koir perpaduan – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 6 Oktober – Kerajaan negeri menyasarkan lebih ramai pelajar berbangsa Cina dan India menyahut cabaran menyertai Pertandingan Koir Perpaduan Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Melaka pada tahun depan.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata, ia bagi memastikan acara yang mengetengahkan bakat dan semangat perpaduan itu selari dengan tema Keluarga Malaysia.

“Saya harap pertandingan ini dijadikan acara tahunan, ia bukan hanya dapat memupuk perpaduan berbilang kaum di negara ini, malah menampilkan bakat mereka sendiri.

“Sebab itu kita minta pertandingan selepas ini akan menarik penyertaan daripada pelajar sekolah khususnya mereka yang berbangsa Cina dan India.

“Keluarga Malaysia terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, kaum dan usia, meskipun berbeza kepercayaan serta latar belakang, namun kita meraikannya bersama demi menjunjung Malaysia sebagai negara bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Koir Perpaduan Keluarga Malaysia Teguh Bersama Peringkat Negeri Melaka 2022 di D’ Village di sini, hari ini.

Pada pertandingan itu sebanyak 12 kumpulan terdiri daripada agensi kerajaan, pelajar institusi penganjian tinggi (IPT), pelajar sekolah menengah dan rendah turut terlibat sama.

photo1665038881
Persembahan peserta daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang merangkul johan dalam pertandingan koir pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Koir Perpaduan Keluarga Malaysia Teguh Bersama Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 di D’Village, Melaka. Foto: MR. AZLI

Johan bagi pertandingan dirangkul Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang membawa pulang hadiah kemenangan RM5,000, piala serta sijil penyertaan.

Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang SMK Bukit Baru dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang memenangi RM3,500 dan RM2,500 berserta piala dan sijil.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3144
Kongsi :
Previous post UTEM perkukuh jaringan kerjasama strategik
Next post Banjir: Agong titah beri perhatian sistem amaran awal bencana, agih bantuan
Ubah saiz-+=