Ketengah bakat kanak-kanak dalam bidang seni

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 21 Disember – Kem Kesenian Kanak-Kanak Kebangsaan 2022 (Kem 4K) mengetengahkan bakat anak-anak muda dalam pementasan muzik di hadapan khalayak ramai dengan lebih profesional.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Elias berkata, menerusi kem tersebut, semua peserta terlibat akan mempersembahkan sesuatu yang berbeza berdasarkan apa yang dipelajari.

“Dengan adanya kem sebegini kita mahu mereka ini berkongsi ilmu yang baharu kepada orang ramai dengan kelebihan yang mereka ada semasa menyertai kem.

“Mereka ini kebanyakkannya semua sudah terlatih, cumanya kita mahu tajamkan lagi bakat dan kemahiran mereka seperti penari profesional, jadi mereka boleh kongsi ilmu baharu dengan orang ramai.

“Ini adalah platform yang sebenar untuk mengasah, melatih dan memberi bimbingan kepada anak-anak muda dalam pelbagai cabang seni budaya seperti seni tari dan teater muzik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kem tersebut memberi fokus terhadap bidang seni tari, seni muzik, teater, termasuk sukan tradisional seperti gasing.

“Pembangunan seni budaya dalam kalangan generasi muda bukan sekadar hiburan sebaliknya membantu pembangunan modal indan seseorang termasuk sahsiah diri dan jati diri rakyat Malaysia.

“Peserta yang dipilih membuat persembahan hadapan orang ramai ini menjadikan mereka lebih berani sekali gus dapat membantu pihak JKKN membuat produksi secara kecil-kecilan,” katanya.

Kem kesenian yang diadakan bermula 19 sehingga 24 Disember bersama Konsert Apresiasi Kanak-kanak Cemerlang 2022 pada 23 Disember menghimpunkan seramai 230 kanak-kanak cemerlang dalam bidang seni dan budaya dari pelbagai negeri.

Antara artis jemputan yang hadir adalah juara Anugerah Juara Lagu ke-34 Naim Daniel, Husna Bunga (juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2022) serta Tuah Adzmi (artis Big Stage).

Sementara itu Fasilitator Muzik Gamelan, Abdul Khalil Hassan berkata kem tersebut perlu dimasukkan dalam kalendar sebagai salah satu acara yang ada di Malaysia.

WhatsApp Image 2022-12-22 at 13.02.26
ABDUL Khalil mengajar seni gamelan kepada peserta terlibat.

“Saya berada dalam seni muzik ini lebih 40 tahun, jadi harapan saya supaya acara sebegini dapat menjadi salah satu acara yang diadakan pada setiap tahun di negara kita.

“Acara begini khususnya muzik gamelan perlu diterapkan dalam kalangan anak-anak muda, kita tak mahu aktiviti begini berhenti separuh jalan sahaja sebab itu ia perlu diadakan pada setiap tahun.

“Biarpun seni ini agak susah tetapi jika anak-anak muda ini kerap diberikan latihan tidak mustahil mereka boleh menjadi lebih bagus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2532
Kongsi :
Previous post Tanah Runtuh Batang Kali: Empat mayat ditemukan, angka korban kini 30 orang
Next post Batang Kali: Empat mayat ditemukan bergulung dengan khemah – Polis
Ubah saiz-+=