
KETUA JABATAN BANTU ‘RAWAT’ EMOSI ANAK BUAH
SERI NEGERI 4 Februari – Semua ketua jabatan di negeri ini disaran mengambil langkah proaktif bagi menangani isu penjawat awam yang memerlukan bantuan dan sokongan psikologi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad berkata penjawat awam boleh mendapatkan khidmat intervensi psikologi melalui pegawai psikologi di agensi atau jabatan masing-masing.
“Justeru ketua jabatan perlu sentiasa memantau tahap kesejahteraan psikologi para penjawat awam seliaan masing-masing dengan memberikan bantuan dan sokongan.
“Jika tidak dibantu dan diberikan rawatan sewajarnya, ia boleh menjejaskan kefungsian hidup, perhubungan serta kerjaya seseorang individu itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Majlis Amanat YB Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2025 di Auditorium Seri Negeri di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, Penasihat Undang-Undang Negeri, Khairul Azreem Mamat, barisan ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.
Katanya, pendekatan intervensi psikologi yang menyeluruh mampu membantu memulihkan jiwa dan merangsang semula kekuatan peribadi seseorang secara positif.
“Sebagai manusia biasa, kita perlu ingat ada masanya kita mampu mengawal emosi dan ada masa kita memerlukan sokongan emosi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.