Sorting by

×

Melaka meterai pelaburan RM5 bilion, bukti jadi destinasi pilihan pelabur

Masa Membaca:3 Minit, 18 Saat

DUBAI 15 Mac – Misi pelaburan sempena Melaka Week di Expo 2020 Dubai membuahkan hasil membanggakan apabila Kerajaan Negeri Melaka, hari ini, memeterai tujuh memorandum perjanjian (MoA) dan memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM5 bilion.

Tujuh MoU dan MoA yang dicapai ini termasuklah tiga dari KAJ Development Sdn Bhd; Melaka ICT Holdings (MICTH); Malaysia Multimedia University (MMU), Malaysian Association of Tour & Travel Agents (MATTA) Melaka Chapter dan NRB Food Industries (NRB).

Kejayaan pada Expo 2020 Dubai itu juga secara tidak langsung membuktikan Melaka mendapat keyakinan pelabur dunia menerusi MoU ditandatangani antara pemaju Melaka Gateway, KAJ Development Sdn Bhd dan X Infinity Property Sdn Bhd, selain Total Group Bhd, Assetwall Sdn Bhd serta Pihak Berkuasa Zon Ekonomi Bersepadu Dubai.

Menerusi MoA dan MoU dianggarkan bernilai RM5 bilion itu menyaksikan KAJ Development akan membangunkan tiga lokasi tambakan laut ditengah-tengah pusat bandar raya Melaka.

Nilai pelaburan besar itu dijangka mampu membantu merancakkan lagi perkembangan ekonomi negeri Melaka dalam pelbagai sektor.

Kejayaan itu juga membolehkan kerajaan negeri meneruskan pembangunan projek Melaka Gateway menerusi pelaburan di koridor ekonomi pesisir laut berimpak tinggi, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

KETUA Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran MoU antara agensi dan syarikat terlibat di Melaka Week di Expo 2020 Dubai.

Bagi MoA pertama, KAJ Development melalui MG Velocity memeterai perjanjian bersama X Infinity Property dan Total Group Bhd akan membangunkan Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT) di pulau MPE1 tapak projek Melaka Gateway.

Pelaburan bernilai RM1.5 bilion itu membabitkan pembinaan kemudahan Kastam, Imigresen, Kuarantin (CIQ), pusat beli-belah bebas cukai, ruang niaga dan hotel mewah.

MG Velocity diwakili Eric Ong Zong Ren, sementara X Infinity diwakili Vincent Chong manakala Total Group pula diwakili Datuk David Khoo Yik Chou.

Sementara itu, MoA kedua membabitkan KAJ Development dan Assetwall bagi pembangunan taman teman moden bertaraf dunia menawarkan 24 permainan dan tarikan di tapak seluas 36 ekar di pulau PME1 Melaka Gateway.

Dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion taman tema itu dijangka menarik lima juta pengunjung dan dijangka siap seawal 2026.

KAJ Development diwakili pengasas juga Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Michelle Ong, manakala Assetwall diwakili Datuk Melvyn Cheng.

Manakala MoU ketiga adalah di antara KAJ Development dan Pihak Berkuasa Zon Ekonomi Bersepadu Dubai bagi pelaburan dan operasi zon bebas cukai dicadangkan di pulau PME1, Melaka Gateway dengan nilai pelaburan RM2 bilion.

KAJ Development diwakili Datuk Michelle Ong manakala Pihak Berkuasa Zon Ekonomi Bersepadu Dubai diwakili Timbalan Presiden Kanan, Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Abdulaziz Alhammadi.

Melaka ICT Holdings (MICTH) dan Microsoft Corporation Malaysia seterusnya memetrai MoU keempat bagi menyokong inisiatif transformasi digital negeri termasuk mempercepatkan sokongan digital dalam pelbagai industri serta memperkasa rakyat dengan kemahiran itu.

Bagi sektor pengajian tinggi, MoU dimeterai di antara Universiti Canada Dubai (CUD) dan Universiti Multimedia (MMU) kampus Melaka bagi meneroka peluang kerjasama antara kedua-dua institusi pendidikan berkenaan.

Ia termasuk pertukaran pelajar, ahli akademik dan bukan ahli akademik serta program kerjasama dalam pelbagai bidang seperti teknologi digital dan kerjasama penyelidikan serta latihan yang berkepentingan bersama antara kedua-duanya.

Sektor pelancongan turut menyaksikan MoU dimeterai antara Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka dan Kumpulan Konsortium Timur Tengah, Global Travel Services bagi merangsang pertumbuhan sektor pelancongan kedua-dua negara.

Selain itu NRB Food Industries (NRB) yang diwakili Pengarah Urusannya, Raidee Baharum turut memetrai MoU ketujuh dengan 3BUMI Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Eksekutifnya, Mohd Silahuddin Jamaluddin.

Hasrat MoU itu adalah untuk memberi peluang perdagangan dan pengedaran produk makanan kepada Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Afrika Utara dan Timur Tengah secara amnya.

Pertukaran MoA dan MoU berkenaan disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan turut dihadiri Pengerusi KAJ Development Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman.

Dalam majlis berkenaan, Sulaiman turut melancarkan dua produk keluaran dua syarikat berkenaan iaitu gula Melaka dalam paket keluaran NRB dan pencuci berasaskan cecair, EcoGuard hasil keluaran Kenanga Suria dan rakan kongsinya di Dubai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3288
Kongsi :
Previous post Sasar 2,000 peranti AED dipasang di Melaka – MDDNM
Next post APM rakan strategik bantu tingkat peranti AED
Ubah saiz-+=