Sasar 2,000 peranti AED dipasang di Melaka – MDDNM

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 15 Mac – Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka (MDDNM) menyasarkan sebanyak 2,000 peranti defibrilator luaran automatik (AED) dipasang di negeri ini.

Timbalan Presiden MDDNM, Datuk Wira Dr Ahmad Zaini Mohd Amin berkata, kesemua peranti itu perlu diselaraskan dengan latihan proses bantuan pernafasan (CPR) kepada orang ramai.

“MDDNM membuat promosi memperbanyakkan bilangan AED di dalam Negeri Melaka khususnya di kawasan-kawasan ibadat, tempat awam, kawasan sukan dan rekreasi, pelancongan, hotel serta perindustrian secara berperingkat.

“Kita sasarkan sebanyak 2,000 peranti AED dipasang di Melaka, setakat ini hanya 13 peranti AED yang dipasang di premis awam di negeri ini.

“Sebelum ini MDDNM mendapat hak eksklusif daripada ZOLL Medical Malaysia dan Malaysian EMS Systems Sdn Bhd membekalkan alat peranti AED untuk menjayakan misi ini,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada Sidang Media MDDNM : Pemasangan AED di Sekitar Negeri Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh, hari ini yang turut dihadiri Presiden MDDNM, Datuk Wira Jahaya Mat.

Menurutnya, MDDNM juga akan berkolaborasi bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka untuk mengenal pasti lokasi sesuai untuk memasang peranti itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata MDDNM akan berkolaborasi bersama Malaysian EMS Systems Sdn Bhd dan St John Ambulance of Malaysia (SJAM) Cawangan Melaka untuk mewujudkan kumpulan ‘First Responders’ yang terlatih dalam kalangan orang awam untuk membuat CPR dan cara penggunaan AED.

SESI sidang media mengenai pemasangan peranti AED.

“MDDNM bersama Malaysian EMS Systems dan ZOLL akan membangunkan satu ‘Web-Based Application’ untuk ‘First Responders’. Satu notifikasi akan keluar apabila terjadi insiden serangan jantung secara tiba-tiba (SCA).

“Setiap peranti AED dilengkapkan dengan Global Positioning System (GPS), aplikasi ini membolehkan ‘First Responders’ terdekat dipanggil dengan info maklumat peranti AED terdekat untuk digunakan.

“Ini bertujuan memendekkan masa bantuan kepada mangsa sebelum bantuan pakar perubatan tiba,” katanya.

Ahmad Zaini berharap inisiatif itu mendapat sambutan pelbagai pihak selain
memberikan Melaka imej baharu sebagai negeri destinasi pelancongan yang
menjamin kesihatan, keselamatan serta kemakmuran rakyat dan pengunjung.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

967
Kongsi :
Previous post Onn Hafiz Menteri Besar Johor ke-19
Next post Melaka meterai pelaburan RM5 bilion, bukti jadi destinasi pilihan pelabur
Ubah saiz-+=