Ketua Menteri tiup api semangat kepada calon SPM 2020

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERI BENDAHARA 18 Feb. – Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang akan bermula tidak lama lagi, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali turut tidak ketinggalan menitip kata-kata semangat buat mereka.

Dalam program Melakaku Bermunajat COVID-19 dan Imtihan yang diadakan di Seri Bendahara dan berlangsung serentak di seluruh negeri malam ini, Sulaiman turut mendoakan agar calon peperiksaan tersebut dipermudahkan segala urusan, dikurniakan kesihatan yang baik serta memperoleh kejayaan yang cemerlang.

SULAIMAN bersama jemaah yang hadir ketika memanjatkan doa dalam program Melakaku Bermunajat COVID-19 dan Imtihan bertempat di Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara, hari ini.

“Kepada anak-anak calon peperiksaan utama yang bakal menduduki peperiksaan lebih kurang tiga hari lagi, pakcik nak nasihatkan, jagalah kesihatan sepanjang musim peperiksaan akan datang nanti.

“Pakcik ada dengar sebahagian anak-anak ada yang mula rasa ‘give up’ kerana banyak kali peperiksaan ini telah ditangguhkan. Janganlah putus asa, teruskan berusaha sehingga ke titisan perjuangan yang terakhir serta jangan sesekali lupa untuk berdoa memohon perlindungan daripada Yang Maha Esa.

“Pakcik dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka sentiasa mendoakan kejayaan kalian sebagai pelapis kepimpinan pada suatu hari nanti,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Di kesempatan sama, Sulaiman turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik yang tidak mengenal erti jemu memberi tunjuk ajar kepada anak murid termasuklah menerusi proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Saya mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih atas usaha yang dilaksanakan tanpa mengenal erti jemu.

“Saranan saya, laksanakan proses pembelajaran dengan bersungguh-sungguh dan terbaik dalam tempoh penularan pandemik COVID-19 ini,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut berjanji untuk memberi tumpuan penuh terhadap aspek pembelajaran anak-anak di Negeri Melaka, bagi memastikan tiada yang tercicir walau apa jua cabaran yang mendatang.

Views:

558
Kongsi :
Previous post COVID-19: Melaka Bermunajat mohon negara kembali sejahtera
Next post Aktiviti pelancongan di Melaka dibenarkan
Ubah saiz-+=