COVID-19: Melaka Bermunajat mohon negara kembali sejahtera

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SERI BENDAHARA 18 Feb. – Dalam usaha memohon pertolongan Allah SWT bagi diangkat wabak COVID-19 supaya negara dan negeri ini secara keseluruhannya kembali sejahtera, Kerajaan Melaka telah menganjurkan program Melakaku Bermunajat COVID-19 dan Imtihan bertempat di Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, program tersebut turut diadakan secara serentak melalui platform dalam talian yang turut disertai sebanyak 41 buah masjid, dua surau, 20 madrasah tahfiz dan 10 sekolah agama di seluruh negeri.

Jelasnya, platform digital dipilih bagi menjayakan program berkenaan memandangkan situasi semasa COVID-19 dalam negara masih di tahap membimbangkan.

SULAIMAN

“Disebabkan situasi semasa pandemik COVID-19 yang sangat membimbangkan, kerajaan negeri memilih platform digital sebagai langkah berjaga-jaga, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikuatkuasakan untuk mengadakan program ini.

“Sungguhpun kita berada pada lokasi yang berbeza, namun, kita tetap bersyukur kerana platform digital ini masih dapat menyatukan kita semua untuk sama-sama bermunajat,” katanya dalam satu kenyataan.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan, Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md Rawi Mahmud dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md Azhan Samat.

Dalam ucapannya, Sulaiman turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis berkenaan khususnya kepada agensi-agensi Agama Islam Negeri Melaka.

Views:

670
Kongsi :
Previous post Seminar, bengkel, kursus, persidangan, ceramah, dibenarkan di kawasan PKPB, PKPP
Next post Ketua Menteri tiup api semangat kepada calon SPM 2020
Ubah saiz-+=