Kibar Jalur Gemilang 285 kilometer demi tanah air tercinta

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SUNGAI UDANG 30 Ogos – Jarak 285 kilometer dari Sabak Bernam, Selangor ke bandar raya Melaka tidak terlalu jauh untuk sepasang suami isteri yang memperagakan pakaian berkonsep Jalur Gemilang dan motosikal dipenuhi bendera kebangsaan.

Ketinggian semangat mereka berpakaian sedemikian dan menaiki motosikal berkenaan menarik perhatian orang ramai, terutama pengguna jalan raya di Sungai Udang, Tanjung Kling dekat sini hari ini.

Bekas tentera, Abdul Rahman Abu Bakar, 53, dan suri rumah, Suria Sukirman, 51, sanggup menunggang motosikal sejauh kira-kira 285 kilometer (km) dari Kampung Tebok Pulai, Sabak Bernam, Selangor ke bandar raya Melaka.

Dengan mengenakan pakaian dan pelitup muka berkonsep Jalur Gemilang, pasangan terbabit ‘mengarak’ tiga Jalur Gemilang bersaiz besar yang diikat kemas pada bahagian belakang motosikal.

Selain itu, motosikal Modenas Kriss 110 cc itu turut dihiasi dengan beberapa Jalur Gemilang bersaiz kecil yang dilekatkan dengan penuh cermat dan bergerak dalam keadaan amat menarik apabila bendera berkenaan ditampar angin.

Abdul Rahman berkata, mereka memulakan perjalanan dari kampung berkenaan pada jam 9.30 pagi semalam sebelum tiba di Rantau, Rembau, Negeri Sembilan kira-kira jam 3 petang semalam.

“Kami bermalam di rumah kami di Rantau yang saya beli ketika berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum menyambung perjalanan selepas solat Zohor hari ini,” katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di pekan Sungai Udang.

Beliau berkata, kira-kira jam 4.30 petang mereka berhenti untuk mengisi minyak di stesen petrol berkenaan, selain menikmati minum petang.

Katanya, antara destinasi mereka seterusnya ialah Dataran 1Malaysia di Klebang, di sini dan Dataran Pahlawan di Bandar Hilir sebelum bergerak pulang ke Sabak Bernam petang esok.

Suria berkata, beliau dan suami menempah khas pakaian berkenaan bagi meraikan Hari Kebangsaan esok, sekali gus membuktikan kasih dan cinta mereka terhadap tanah air yang memberikan kehidupan aman dan sejahtera untuk mereka dan rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah, inilah kali pertama kami melakukan penjelajahan bermotosikal sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan kami berharap ia mampu menambah seri sembutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya.

Views:

331
Kongsi :
Previous post Puisi Merdeka Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali
Next post Melaka catat lebih 8,000 pelancong cuti umum
Ubah saiz-+=