Kilang proses ayam di Serkam dikompaun RM50,000 sebabkan pencemaran sumber air

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 18 Jun – Padah melakukan kesalahan mencemarkan sumber air sebuah kilang pemprosesan ayam terbesar Melaka, Huat Lai Sdn Bhd dikompaun RM50,000 oleh Kerajaan Negeri, hari ini.

Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA), Faizah Abdul Rahman@Sulaiman dalam satu kenyataan berkata, notis kompaun itu dikeluarkan selepas diberi keizinan oleh Timbalan Pendakwa Raya Melaka.

Jelasnya, kes itu berlaku pada 29 Disember tahun lalu selepas penguat kuasa BKSA menjalankan pemeriksaan di blok kuarters rumah pekerja Huat Lai Processing Sdn Bhd dan mendapati pihak syarikat hanya menyediakan tangki septik individu (IST) bagi setiap blok kuarters pekerja yang mana melebihi 150 populasi setara (PE).

“Hasil pemeriksaan di blok rumah pekerja mendapati satu blok bangunan rumah pekerja memiliki 16 rumah yang hanya menggunakan satu sistem IST untuk setiap blok.

“Justeru itu, syarikat didapati melanggar peraturan di bawah Seksyen 39 (a) Pencemaran Sumber Air dan Kawasan Tadahan Air, Enakmen Sumber Air (Negeri Melaka) 2014: di atas kesalahan pelepasan air sisa kumbahan daripada rumah pekerja yang tidak menepati spesifikasi populasi setara (PE),” katanya.

BKSA bersama pelbagai agensi menyiasat punca pencemaran terbaharu di Sungai Punggor yang disyaki dilakukan syarikat sama.

Dalam pada itu, Faizah dalam kenyataan sama turut memaklumkan pihaknya menerima satu lagi aduan semalam berkaitan pencemaran di Sungai Punggor didakwa dari syarikat yang sama.

Katanya, BKSA bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman dan pelbagai agensi telah meninjau ke kawasan punca pencemaran, hari ini.

Katanya, hasil dapatan awal mendapati pencemaran itu adalah berpunca daripada pembuangan sisa industri oleh kilang pemprosesan kotak telur yang juga milik syarikat sama di Kawasan Perindustrian ELKAY Lipat Kajang.

“Pemerhatian mendapati, sampel bahan cemar yang diambil di Sungai Punggor mempunyai sifat yang sama dengan sampel di lokasi pembuangan sisa di sini.

“BKSA akan membuat pemeriksaan di kilang yang disyaki menghasilkan sisa tersebut dan pihak syarikat diminta untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan sepanjang 600 meter dari premis sehingga ke aliran Sungai Punggor serta-merta.

“Segala kos akan dibiayai oleh syarikat serta membuat pelupusan atau penimbusan bahan cemar dengan menanamnya di atas tanah milik syarikat dan diurus dengan baik,” ujarnya.

Beliau berkata, satu kertas siasatan juga akan dibuka berkaitan kes berkenaan yang mana sampel yang diambil akan dihantar ke makmal untuk ujian dan pihak penguat kuasa BKSA akan terus memantau tindakan syarikat terbabit.

“Untuk makluman, kesalahan ini merupakan kesalahan berulang oleh syarikat yang sama dan akan didakwa di bawah Seksyen 39 (a) Enakmen Sumber Air (Negeri Melaka) 2014 yang jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1306
Kongsi :
Previous post Pasangan suami isteri tengah ‘lalok’ dicekup polis
Next post Hasrat TMJ perlu diperhalusi sebaiknya-Himidin
Ubah saiz-+=