Pasangan suami isteri tengah ‘lalok’ dicekup polis

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 18 Jun – Sepasang suami isteri dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kota Laksamana, kelmarin.

Serbuan dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka itu menahan lelaki warga Indonesia berusia 28 tahun dan isterinya warga tempatan Orang Asli berusia 29 tahun pada jam 11 malam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka Deputi Superintendan Mohd Akmal Abdullah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka Deputi Superintendan Mohd Akmal Abdullah berkata, ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek sedang menghisap dadah dipercayai jenis syabu di rumah sewa mereka di lokasi kejadian.

Katanya, dalam serbuan itu polis menemukan satu paket dadah disyaki jenis sama seberat 50 gram yang dianggarkan bernilai RM5,000 mengikut harga pasaran.

“Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di kawasan perumahan sekitar bandar di negeri ini termasuk Tengkera sejak dua bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka berkahwin sejak lapan tahun lalu dan mempunyai tiga anak berusia antara tiga hingga tujuh tahun yang tinggal bersama adik perempuan kepada suspek lelaki di Muar, Johor.

“Semakan mendapati suspek wanita yang tidak bekerja itu mempunyai rekod lampau memiliki dadah manakala suspek lelaki yang mempunyai dokumen perjalanan sah dan bekerja sebagai buruh itu tidak mempunyai rekod lampau.

“Hasil saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine,”katanya.

Menurut Mohd Akmal, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1329
Kongsi :
Previous post Satu inisiatif bersifat inklusif- FMM
Next post Kilang proses ayam di Serkam dikompaun RM50,000 sebabkan pencemaran sumber air
Ubah saiz-+=