KKM kesan 85 kes positif COVID-19 babitkan Mesyuarat Khas Parlimen

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Sejumlah 85 kes positif COVID-19 dikenal pasti sehingga kini melibatkan Mesyuarat Khas Parlimen baru-baru ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi kenyataannya hari ini, beliau berkata kes yang dilaporkan itu hasil ujian RT-PCR, dengan 56 kes dikenal pasti hasil saringan Pra-Dewan Rakyat dan empat kes kontak rapat serta 17 kes berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat, manakala lapan kes lagi saringan Pra-Dewan Negara.

“Setakat ini, enam sampel yang berkemungkinan besar adalah varian Delta telah dikesan, melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.

“Bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh dan masih menunggu keputusan akhir,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata daripada lapan kes yang baharu yang dilaporkan antara 30 Julai hingga semalam, lima daripadanya mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) RT-PCR antara 18.00 hingga 27.68, dan tiga kes dengan CT value antara 35.14 sehingga 37.59.

Selain itu, daripada lapan kes tersebut, empat kes mempunyai gejala ringan dan selebihnya tidak bergejala.

Katanya tujuh kes positif telah mendapat vaksin COVID-19 sekurang-kurangnya satu dos manakala satu lagi kes melibatkan kanak-kanak berusia tujuh tahun (hasil daripada kontak rapat) yang belum layak mendapat vaksin.

“Hasil siasatan Kementerian Kesihatan setakat ini mendapati bahawa besar kemungkinan perkongsian kemudahan asas seperti tandas dan surau oleh ramai individu telah memberi risiko kepada penularan jangkitan COVID-19 di Parlimen,” katanya.

Justeru, beliau menasihati individu yang telah hadir ke Parlimen untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera dan mendapatkan rawatan segera serta menjalani ujian saringan COVID-19 sekiranya bergejala.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post Mesyuarat kedua MPN bincang keperluan buka semula sektor perniagaan
Next post Maafkan Siti Sarah, halalkan makan minumnya’ – Shuib
Ubah saiz-+=