
TPM GARIS TIGA LANGKAH PERKUKUH KEFAHAMAN SEJARAH, KEHARMONIAN NEGARA
AYER KEROH 26 September – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan tiga perkara utama bagi memastikan rakyat mempunyai kefahaman tentang sejarah dan asas kenegaraan Malaysia.
Beliau berkata, tiga perkara yang digariskan adalah memperkukuh pendidikan sejarah, membina kefahaman bersama mengenai asas negara serta mengkaji keperluan kerangka perundangan khusus bagi memelihara keharmonian negara.
Beliau berkata, ketiga-tiga pendekatan itu penting bagi memastikan generasi muda mampu menilai sejarah berasaskan fakta, memahami pembentukan negara serta mengurus perbezaan dalam masyarakat secara bertanggungjawab.
“Perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah memperkukuh pendidikan sejarah dengan membimbing generasi muda meneliti sumber, memahami bagaimana sejarah dibentuk serta membuktikannya berdasarkan fakta.
“Berilah mereka ruang untuk bertanya dan menguji tafsiran, dengan tetap bertanggungjawab terhadap fakta.
“Teknologi boleh menjadikan sesuatu cerita tular, tetapi ilmu diperlukan untuk menguji sama ada cerita itu benar,” katanya ketika berucap merasmikan Musyawarah Nasional 3.0 – Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Pengerusi Musyawarah Nasional Tan Sri Datuk Abdul Ghani Othman serta kenamaan lain.
Ahmad Zahid yang juga Pengasas Musyawarah Nasional berkata, perkara kedua pula adalah kefahaman bersama mengenai asas negara melalui Perlembagaan perlu dibina supaya setiap anak Malaysia, tanpa mengira aliran pendidikan, memahami sejarah pembentukan negara serta tanggungjawab terhadap tanah air.
“Kita mahu mereka melangkah ke dunia dengan pandangan yang luas, sambil tetap mengenali tanah air dan tanggungjawab terhadapnya.
“Semakin luas dunia yang mereka terokai, semakin kukuh akar yang perlu kita pasakkan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, perkara ketiga ialah mengkaji keperluan kerangka perundangan khusus bagi memelihara keharmonian negara, termasuk menangani hasutan kebencian menerusi peruntukan yang jelas dan proses yang adil.
Tambah beliau, kajian akademik, perbahasan berasaskan fakta dan kritikan yang sah perlu terus dilindungi bagi memastikan ruang ilmu kekal subur tanpa menjejaskan kehidupan bersama.
“Hasutan kebencian mesti ditangani melalui peruntukan yang jelas dan proses yang adil. Pada masa yang sama, kajian akademik, perbahasan berasaskan fakta dan kritikan yang sah mesti terus dilindungi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

