PENYATUAN UMMAH PERLU DIUSAHAKAN, PERBEZAAN PARTI JANGAN HALANG KESEPAKATAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 26 September – Gerakan penyatuan ummah perlu terus diusahakan supaya perbezaan parti politik tidak menjadi penghalang kepada kesepakatan dalam perkara yang menyentuh kepentingan agama, bangsa dan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kekuatan bersama termasuk melalui saluran demokrasi penting bagi memelihara hak dan kepentingan orang Melayu yang dijamin Perlembagaan.

“Bagi orang Melayu, memelihara hak dan kepentingan yang dijamin Perlembagaan menuntut kekuatan bersama, termasuk kekuatan politik melalui saluran demokrasi.

“Sebab itu, gerakan penyatuan ummah perlu terus diusahakan agar perbezaan parti tidak menghalang kita mencapai kesepakatan dalam perkara yang menyentuh kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Musyawarah Nasional 3.0 – Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Pengerusi Musyawarah Nasional Tan Sri Datuk Abdul Ghani Othman serta kenamaan lain.

Ahmad Zahid yang juga Pengasas Musyawarah Nasional berkata, kesepakatan yang ingin dicapai perlu berpaksikan Perlembagaan selain menghormati hak semua warganegara.

Dalam pada itu, beliau berkata, prinsip sama perlu menjadi panduan dalam memahami kedudukan institusi Kesultanan, adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri sebelum sesuatu pertikaian dinilai.

“Kedudukan serta tanggungjawab setiap institusi perlu diperhalusi sebelum sesuatu pertikaian dinilai. Janganlah label ‘derhaka’ dan ‘biadab’ mendahului kefahaman tentang duduk perkara.

“Tugas kepimpinan ialah menjernihkan kekusutan dengan ilmu dan kebijaksanaan, sambil memelihara martabat institusi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, UMNO turut menjunjung institusi Raja dan tertib Perlembagaan, termasuk kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Perbezaan politik tidak seharusnya menghakis adab terhadap institusi diraja. Penghormatan kepada Perlembagaan mesti kekal waima ketika sesuatu keputusan tidak menepati kehendak kita,” katanya.

Beliau berkata, prinsip berkenaan perlu diwariskan sebagai pegangan bersama dalam mengurus perbezaan, termasuk dengan mempertahankan prinsip, menghormati hak secara adil dan mengutamakan kebijaksanaan.

“Inilah pegangan yang mesti kita wariskan; teguh mempertahankan prinsip, adil menghormati hak dan bijaksana mengurus perbezaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

168
Kongsi :
Previous post TPM GARIS TIGA LANGKAH PERKUKUH KEFAHAMAN SEJARAH, KEHARMONIAN NEGARA