PERLEMBAGAAN TIDAK BOLEH DIBACA SECARA ‘À LA CARTE’

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 26 September – Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca secara ‘à la carte’ dengan hanya mengambil peruntukan yang menyebelahi sesuatu pendirian, sebaliknya perlu difahami secara menyeluruh sebagai asas kehidupan bersama dalam negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kefahaman terhadap sejarah perlu disertai pengetahuan mengenai asas kenegaraan Malaysia, khususnya susunan hak, kebebasan dan kesamarataan yang diperuntukkan Perlembagaan.

“Sejarah menjelaskan perjalanan kita, manakala Perlembagaan menjadi panduan kehidupan bersama.

“Apabila membicarakan hak, kebebasan dan kesamarataan, kita mesti memahami keseluruhan susunannya.

“Perlembagaan tidak boleh dibaca secara à la carte dengan mengambil yang menyebelahi pendirian kita, lalu mengetepikan yang lain,” katanya ketika berucap merasmikan Musyawarah Nasional 3.0 – Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Pengerusi Musyawarah Nasional Tan Sri Datuk Abdul Ghani Othman serta kenamaan lain.

Ahmad Zahid yang juga Pengasas Musyawarah Nasional berkata, antara perkara yang perlu difahami secara utuh termasuk Perkara 8 yang memperuntukkan kesamarataan di sisi undang-undang, selain Perkara 153 yang melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah masyarakat lain.

Katanya, Perkara 160 pula memberikan takrif perundangan mengenai Melayu, manakala kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta institusi Raja-Raja turut membentuk susunan negara yang perlu difahami secara menyeluruh.

Beliau berkata, kefahaman terhadap akar sejarah dan kedudukan peribumi tidak seharusnya dilihat sebagai usaha menafikan tempat masyarakat lain yang sah menjadi warganegara dalam negara ini.

“Dalam susunan ini, kita tidak perlu berasa apologetik untuk mempertahankan kedudukan sendiri dan kita mesti berlaku adil terhadap kedudukan orang lain.

“Sejarah migrasi wajar dikaji, namun mereka yang sah menjadi warganegara ialah sebahagian daripada tanah air ini.

“Mengiktiraf akar sejarah dan kedudukan peribumi tidak bererti menafikan tempat masyarakat lain dalam negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

206
Kongsi :
Previous post PENYATUAN UMMAH PERLU DIUSAHAKAN, PERBEZAAN PARTI JANGAN HALANG KESEPAKATAN
Next post ‘LANGIT YANG SAYA JUNJUNG IALAH KEDAULATAN KEGEMILANGAN KESULTANAN MELAYU MELAKA’ – AB RAUF