KKM usaha tambah baik capaian sistem perkhidmatan kesihatan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berusaha menambah baik capaian sistem perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia, kata menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dengan merujuk kepada pembinaan Klinik Kesihatan (KK) Jenis Tiga di Serian, Sarawak, beliau berkata projek yang telah bermula pada 10 Jun selepas Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan pada 3 Mac lepas itu dijangka siap pada 9 Jun 2022.

Beliau berkata projek iitu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak secara berfasa dengan fasa pertama melibatkan kerja tanah yang bermula pada 1 Dis 2016 dan siap sepenuhnya pada 20 Julai 2017, manakala fasa kedua melibatkan kerja-kerja membina bangunan.

“Kerja membina bangunan telah ditender pada 14 Sept 2019 dengan tarikh tutup pada 7 Okt 2019,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, semasa menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) yang bertanyakan status projek klinik kesihatan berkenaan.

Dr Adham berkata KKM bersama JKR Sarawak dan setiap agensi kerajaan yang lain akan sentiasa bekerjasama bagi memastikan projek itu berjalan lancar, malah menjadi aspirasi KKM agar projek-projek sebegini disiapkan pada masa, kos dan standard yang ditetapkan.

Menjawab soalan tambahan Richard yang ingin tahu adakah KK Jenis Tiga akan dibina di Bunan Gega dan Tebedu, Dr Adham berkata: “Kita rancang untuk bina KK gantian di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 di Tebedu terlebih dahulu”.

— BERNAMA

Views:

527
Kongsi :
Previous post COVID-19: Kementerian Pendidikan bincang jika perlu tutup sekolah
Next post Norma baharu dan disiplin
Ubah saiz-+=